BERLIN: Seorang remaja Jerman berusia 17 tahun digelar sebagai ‘nomad moden’ apabila memilih untuk tinggal di dalam kereta api dan mengembara ke seluruh negaranya sejak lebih setahun lalu.
Selepas menamatkan persekolahan, Lasse Stolley meyakinkan ibu bapanya untuk membenarkan dia meninggalkan rumah mereka di Fockbek, Schleswig-Holstein demi memulakan pengembaraan unik itu.
Stolley yang bekerja sebagai pengaturcara membiasakan diri dengan perjalanan kira-kira 965.6 kilometer (km) setiap hari dan dianggarkan sudah mengembara lebih daripada 482,803 km menaiki kereta api sejak meninggalkan rumah ibu bapanya.
“Saya tinggal di dalam kereta api sebagai nomad digital selama satu setengah tahun sekarang. Saya mandi di kolam renang awam atau pusat riadah dan makan di lounge kereta api Deutsche Bahn.
“Pada waktu malam saya tidur di dalam tren Intercity Express (ICE) yang bergerak dan pada siang hari saya duduk di meja dan bekerja sebagai pengaturcara dengan dikelilingi oleh ramai penumpang lain.
“Saya mengembara dari satu hujung stesen ke hujung yang lain. Saya meneroka seluruh Jerman setiap hari,” kata Lasse kepada Business Insider.
Menurut remaja itu, dia menjual sebahagian besar barangan miliknya dan hanya menyimpan sedikit pakaian dan keperluan asas di dalam beg galas 36 liter yang sentiasa dibawa bersamanya.
“Barang yang paling penting ialah komputer riba saya dan fon kepala anti bunyi bising yang memberi saya sedikit privasi di dalam kereta api,” katanya.
Stolley berkata, dia mendaftar untuk skim diskaun kereta api Jerman yang memudahkannya untuk naik atau turun di mana-mana stesen dan kehidupan luar biasanya itu menelan belanja sekitar 10,000 euro setahun (RM51,366).










