MOSCOW: Russia menahan kesemua empat lelaki bersenjata yang disyaki melakukan tembakan rambang di sebuah dewan konsert berhampiran Moscow dan Presiden, Vladimir Putin berikrar untuk menjejaki serta menghukum dalang di sebalik serangan itu.
Kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan yang berlaku kelmarin termasuk mengeluarkan video memaparkan gambar empat penyerang tersebut serta rakaman seorang daripada mereka menembak beberapa mangsa.
Ahli Parlimen, Alexander Khinshtein berkata, penyerang melarikan diri dengan kenderaan Renault yang dikesan polis di wilayah Bryansk, kira-kira 340 kilometer di barat daya Moscow malam kelmarin.
Khinshtein berkata, sepucuk pistol, senapang dan pasport dari Tajikistan ditemui di dalam kereta itu.
Gabenor Moscow, Andrei Vorobyov berkata, 133 mayat ditemui dan doktor sedang berjuang untuk menyelamatkan nyawa 107 orang yang dilaporkan cedera.
Dalam ucapan di televisyen, Putin berkata, 11 orang sudah ditahan, termasuk tujuh yang disyaki terlibat dalam jenayah itu.
“Mereka cuba bersembunyi dan bergerak ke arah Ukraine di mana, menurut data awal, laluan disediakan untuk menyeberangi sempadan negara,” katanya.
Kremlin berkata, Putin turut mengadakan perbualan dengan pemimpin Belarus, Uzbekistan dan Kazakhstan di mana semua pihak mengesahkan kesediaan mereka untuk bekerjasama memerangi musuh keganasan antarabangsa itu.
“Semua pelaku, penganjur dan mereka yang mengarahkan jenayah ini akan dihukum dengan adil dan tidak dapat dielakkan. Siapa pun mereka begitu juga sesiapa yang membimbing mereka.
“Kami akan mengenal pasti dan menghukum semua orang yang berdiri di belakang pengganas yang melakukan kekejaman terhadap Russia dan rakyat kami,” katanya.
Perkhidmatan keselamatan FSB Russia berkata, lelaki bersenjata itu mempunyai kenalan di Ukraine dan mereka sudah ditangkap berhampiran sempadan sebelum dipindahkan ke Moscow.
Namun Putin mahupun FSB tidak membentangkan secara terbuka sebarang bukti hubungan kejadian dengan Ukraine.
Jurucakap perisikan tentera Ukraine, Andriy Yusov memaklumkan negaranya tidak terlibat dalam serangan pengganas itu.
“Ukraine akan mempertahankan kedaulatannya daripada pencerobohan Russia, membebaskan wilayahnya sendiri dan berperang dengan sasaran tentera penjajah, bukan orang awam,” katanya.
White House berkata, kerajaan AS sudah berkongsi maklumat dengan Russia awal bulan ini mengenai serangan yang dirancang di Moscow dan mengeluarkan nasihat awam kepada rakyatnya di negara itu pada 7 Mac lalu.
“IS bertanggungjawab sepenuhnya untuk serangan itu. Tiada sebarang penglibatan Ukraine,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Adrienne Watson.-REUTERS










