Protes tuang pewarna dalam peti undi di Russia

Protes tuang pewarna dalam peti undi di Russia

TANGKAP layar rakaman seorang wanita menuang cecair ke dalam peti undi semasa Pilihan Raya Presiden di Moscow, Russia.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Beberapa individu ditahan selepas menuang pewarna hijau ke dalam peti undi dan melakukan serangan di tempat mengundi sebagai tanda protes ketika Pilihan Raya Presiden selama tiga hari berlangsung di Russia bermula semalam.

Penyiasat negeri memaklumkan sudah membuka kes jenayah terhadap seorang wanita yang menuang pewarna hijau ke dalam peti undi dalam cubaan untuk merosakkan kertas undi di Moscow.

Menurut media Russia, RIA Novosti wanita itu segera ditahan selepas melakukan perbuatan tersebut dan berdepan tuduhan jenayah kerana menghalang hak pilihan raya dan mengganggu kerja petugas.

Protes serupa turut dilaporkan berlaku di wilayah Voronezh, Rostov, Karachay-Cherkessia dan di Crimea yang kini dikawal Russia selepas dirampas dari Ukraine pada 2014.

Sementara itu, laman berita Fontanka melaporkan, seorang wanita berusia 21 tahun ditangkap selepas melempar molotov cocktail ke pusat pengundian di bandar kelahiran Presiden, Vladimr Putin di St Petersburg.

Media tempatan turut melaporkan tentang beberapa percubaan untuk membakar pusat pengundian di Moscow dan di wilayah Tyumen Siberia.

Pengerusi Dewan Sivik Russia, Alena Bulgakova mendakwa insiden yang dilakukan secara serentak itu adalah bukti provokasi terancang yang disengajakan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Ella Pamfilova menegaskan, individu yang merosakkan peti undi dan cuba mengganggu proses pengundian akan dipenjarakan sehingga lima tahun dan mengesahkan insiden yang berlaku tidak memberi kesan atau menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut.

“Polis sudah menahan semua individu yang cuba merosakkan kertas undi dan mereka akan didakwa.

“Hukuman akan dijatuhkan terutama kepada semua penyerang yang sanggup memusnahkan kertas undian penduduk kerana menerima upah,” katanya, merujuk kepada laporan media yang mengatakan ramai pelaku dibayar oleh Ukraine untuk menimbulkan masalah.

Pilihan raya Presiden Russia yang bermula pada Jumaat menjadi sejarah kepada negara itu kerana ia pertama kali diadakan selama tiga hari.

Lebih 114 juta orang layak mengundi, termasuk di kawasan-kawasan Ukraine yang diduduki tentera Russia.

Putin berdepan saingan daripada tiga calon lain, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Artik dan Dewan Rakyat Timur Jauh, Nikolai Kharitonov; Timbalan yang Dipertua Dewan Rakyat, Vladislav Davankov dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Dewan Rakyat, Leonid Slutsky.

Bagaimanapun, pemimpin itu dijangka meraih kemenangan besar dan kekal mentadbir buat penggal kelima di republik berkenaan.

CNN melaporkan, tinjauan pendapat terbaharu dari Pusat Levada di Moscow mendapati, sejumlah kira-kira 86 peratus individu masih mempercayai kepimpinan pentadbiran Putin.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN