TOKYO: Pencipta siri komik dan kartun anime terkemuka Dragon Ball, Akira Toriyama dilapor meninggal dunia pada usia 68 tahun.
Dragon Ball yang mula disiarkan pada tahun 1984 merupakan salah satu francais manga Jepun terlaris sepanjang zaman dan menghasilkan banyak siri anime, filem dan permainan video.
Toriyama meninggal dunia pada 1 Mac lalu akibat darah beku di bahagian otak.
“Kami amat kesal kerana Toriyama mempunyai beberapa karya yang masih dalam pembikinan.
“Beliau mempunyai banyak lagi perkara untuk dicapai. Bagaimanapun, beliau sudah meninggalkan banyak tajuk manga dan karya seni kepada dunia.
“Kami berharap dunia ciptaan Akira Toriyama yang unik akan terus disayangi oleh semua orang sampai bila-bila,” kata Bird Studio dalam satu kenyataan.
Komik Dragon Ball menampilkan seorang budak lelaki bernama Son Goku yang mengumpul bola ajaib mengandungi naga untuk membantu dia dan sekutunya dalam perjuangan melindungi bumi daripada musuh jahat.
Toriyama sudah terkenal dengan manga komedinya bertajuk ‘Dr Slump’ pada awal 1980-an apabila mencipta Dragon Ball yang menurutnya diinspirasikan daripada filem kung fu Cina.
Rumah penerbitan Shueisha dalam satu kenyataan berkata, mereka sangat sedih dengan berita kematiannya yang mengejut itu.
Pencipta francais manga One Piece, Eiichiro Oda dalam satu kenyataan turut menzahirkan kesedihannya atas pemergian Toriyama yang disifatkan satu kehilangan besar buat industri hiburan berkenaan.
“Memikirkan saya tidak akan berjumpa dengannya lagi. Saya berasa amat sedih,” kata Oda.- AFP










