TULSA: Seorang wanita warga emas Oklahoma berusia 100 tahun baru sahaja meraikan hari lahirnya yang ke-25 dengan meriah Khamis lalu kerana dilahirkan pada tahun lompat 1924.
Mary Lea Forsythe turut mendapat pengiktirafan dan sijil khas oleh Centenarians of Oklahoma dan bandar Sand Springs bagi menandakan ulang tahunnya yang ke-100 pada tarikh istimewa 29 Februari yang hanya singgah empat tahun sekali.
Forsythe berkata, keluarganya masih mengadakan sambutan hari jadinya setiap tahun walaupun tanpa kemunculan tarikh ganjil itu dan sering memilih 6 Mac bersempena hari kelahiran mendiang suaminya.
“Saya sentiasa fikir saya diberkati. Ia sangat menyeronokkan. Kami meraikannya bila-bila masa yang kami mahu,” kata Forsythe kepada ABC News.
Forsythe merupakan ibu kepada dua anak yang sudah dikurniakan lima cucu dan 11 orang cicit.
Majlis hari jadi Forsythe yang ke-25 turut diraikan dengan pesta besar-besaran di gereja tempatan di negeri kelahirannya itu termasuk temu bual dengan stesen berita tempatan.
Forsythe juga sempat berseloroh enggan menerima sebarang hadiah kerana usianya yang sudah meningkat.
“Tolong, tidak perlu beri hadiah. Saya tidak ingin menyimpan apa-apa lagi, hanya mahu menikmati hari-hari indah bersama keluarga,” katanya.









