TOKYO: Ribuan cermin mata hitam berwarna-warni yang dilekatkan pada bingkai logam gergasi menjadi tarikan utama Muzium Cermin Mata di Ikeburo, atau dikenali sebagai Rogan Megane Hakubutsukan.
Muzium yang terletak di jalan Higashi-dori di Minami-Ikebukuro, Tokyo adalah tempat yang sangat ikonik bagi merakam gambar di negara matahari terbit itu, lapor Oddity Central.
Idea kreatif ini dicetuskan oleh Pengasas dan Pemilik Muzium Cermin Mata, Yutaka Takei, 76, yang menggantung beribu-ribu cermin mata sebagai iklan gergasi di luar premisnya.
Selain daripada hiasannya yang unik, berpuluh-puluh ribu cermin mata dihias di luar dan dalam kedai.
Ia juga mempunyai koleksi yang sangat banyak iaitu sehingga 120,000 pasang yang boleh dibeli pada bila-bila masa.
Muzium Cermin Mata juga menjadi terkenal disebabkan harganya yang sangat rendah. Ada cermin mata yang dijual pada harga serendah 300 yen (RM9).
Bagi memastikan premisnya menjadi tarikan ramai, dia turut bersepakat dengan pengendali pelancongan untk membawa pelancong ke kedainya.
Bagaimanapun, selepas 50 tahun beroperasi, pemiliknya mengumumkan penutupan operasi atas pelbagai faktor, pada Mac 2022.
Kongsinya, dua tahun lalu, dia tidak mempunyai pekerja mencukupi untuk menangani bebanan kerja serta serangan pandemik Covid-19 dan penurunan harga cermin mata yang menjadikan perniagaan itu sukar bertahan.










