SEOUL: Pemandu bas di ibu kota, Seoul melancarkan mogok selepas usaha terakhir untuk merundingkan kenaikan gaji gagal, menjejaskan perjalanan lebih sembilan juta penduduk terutama ketika waktu puncak.
Kerajaan Metropolitan Seoul berkata, kereta api bawah tanah terpaksa meningkatkan operasi dengan bantuan gerabak tambahan selepas berlaku kekecohan di 97 peratus laluan bas di ibu negara.
Sebanyak 25 daerah dikerah menyediakan 480 bas ulang-alik untuk membawa penumpang yang terkandas ke stesen kereta api bawah tanah.
Mogok besar-besaran oleh pemandu bas di bandar itu merupakan yang pertama dalam tempoh 12 tahun dengan yang terakhir hanya berlangsung selama kira-kira 20 minit.
Lapor Yonhap, rundingan antara Kesatuan Buruh Bas Seoul yang mewakili pemandu dan majikan mereka gagal selepas tuntutan untuk kenaikan 12.7 peratus gaji setiap jam ditolak kerana disifatkan keterlaluan.
Ramai penumpang di Seoul bingung dan mengadu mengalami masalah untuk ke tempat kerja dengan ada yang mengakui tidak menyedari berlaku mogok selepas rundingan gagal menjelang awal pagi.
“Kami akan berusaha sepenuhnya untuk mencapai persetujuan antara kesatuan dan pengurusan tidak lama lagi,” kata Ketua Biro Perancangan Pengangkutan Kerajaan Metropolitan Seoul, Yoon Jong Jang dalam satu kenyataan.
Bas di Seoul dikendalikan sistem separa awam di mana syarikat swasta menguruskan bas sementara ia disubsidi dan dikawal oleh kerajaan bandar Seoul untuk memastikan kebolehcapaian perkhidmatan.
Datuk Bandar Seoul, Oh Se Hoon merayu dua pihak tersebut berkompromi dengan segera kerana perkhidmatan bas adalah nadi utama pengangkutan di bandar itu dan majoriti penduduk menggunakannya untuk menjalankan aktiviti seharian mereka.-REUTERS










