JAKARTA: Jumlah mangsa yang terbunuh dalam bencana banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera, Indonesia meningkat kepada 21 orang dengan enam lagi masih hilang.
Hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang melanda daerah Pesisir Selatan di wilayah Sumatera Barat, menyebabkan kira-kira 75,000 orang terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara.
“Kira-kira 200 keluarga di sebuah perkampungan lereng bukit di mukim Sutera terputus hubungan selepas insiden tanah runtuh akibat banjir kilat.
“Usaha pencarian melibatkan kira-kira 150 orang daripada organisasi bencana di Sumatera Barat,” kata pemangku Ketua Agensi Mitigasi Bencana Pesisir Selatan, Doni Gusrizal.
Doni berkata, serpihan daripada bencana menghalang usaha menyelamat yang sedang dijalankan.
“Kesan kerosakan akibat banjir ini sangat luar biasa. Ketika ini kami sedang membersihkan jalan kerana kenderaan kami tidak boleh melaluinya,” katanya.
Sejak semalam, perkhidmatan elektrik masih terputus di beberapa bahagian Pesisir Selatan selepas bencana itu.
Menurut kenyataan awal agensi bencana negara, sekurang-kurangnya 14 rumah tertimbus dalam tanah runtuh, lebih 20,000 kediaman dinaiki air dan lapan jambatan runtuh di sekitar daerah berkenaan.
Sementara itu, di daerah Padang Pariaman di Sumatera Barat, hujan lebat antara Khamis dan Jumaat menyebabkan sungai melimpah dan mencetuskan banjir serta tanah runtuh, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan dan masalah itu menjadi lebih buruk di beberapa lokasi yang giat menjalankan aktiviti penebangan hutan. -AFP










