LARNACA: Kapal pertama membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza memulakan perjalanan dengan harapan dapat berlabuh berdekatan kawasan pantai wilayah terkepung itu.
Kapal Sepanyol, Open Arms dijadualkan berlepas dari Cyprus, negara Eropah paling dekat dengan Gaza menggunakan laluan maritim yang baharu dibuka semalam.
Dengan ketiadaan pelabuhan dan perairan yang cetek, masih belum jelas di mana kapal berkenaan akan berlabuh sebaik tiba di Gaza.
Badan amal Sepanyol, Open Arms berkata, botnya yang berlabuh tiga minggu lalu di pelabuhan Larnaca di Cyprus, sudah bersedia memulakan perjalanan dan kini menunggu kebenaran muktamad.
Jurucakap Open Arms, Laura Lanuza berkata, pihak berkuasa Israel sedang memeriksa kargo kapal tersebut yang membawa 200 tan bahan makanan asas seperti beras, tepung dan tin tuna.
Lanuza berkata, badan amal Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen yang bekerjasama dengan Open Arms, mempunyai pasukan di Gaza yang sedang membina jeti sementara untuk memunggah dan membawa keluar muatan.
Jurucakap Tentera Israel, Daniel Hagari berkata, Israel berkoordinasi dengan AS dalam projek jeti untuk penghantaran bantuan kepada penduduk Gaza melalui pertubuhan antarabangsa selepas lulus pemeriksaan penuh.
Pembukaan koridor maritim itu diumumkan kelmarin oleh Ketua Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen, sehari selepas Presiden AS, Joe Biden mengumumkan untuk membina pelabuhan sementara di Gaza bagi membolehkan kemasukan bantuan menerusi jalan laut.
Pada masa sama, kapal tentera AS, General Frank S Besson juga sudah meninggalkan Pangkalan Bersama Langley-Eustis dalam perjalanan ke Timur Mediterranean untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan awal pagi semalam.
Kapal sokongan logistik AS itu memulakan perjalanan kurang 36 jam selepas pengumuman Biden tentang penghantaran bantuan menggunakan jalan laut ke Gaza.
Ia juga membawa peralatan untuk menyediakan jeti sementara bagi membolehkan penghantaran dan pengagihan bekalan kemanusiaan tersebut dilakukan di kawasan pantai Gaza. -AFP/ AGENSI










