NICOSIA: Kapal kargo kedua membawa bantuan makanan ke Gaza sedang bersedia untuk berlayar dari Cyprus, ketika kapal pertama dalam percubaan perintis penghantaran maritim menghampiri wilayah Palestin yang terkepung itu.
World Central Kitchen (WCK) berkata, anggotanya sedang memuatkan sebuah kapal di pelabuhan Larnaca dengan 300 tan bantuan makanan termasuk kekacang, tuna dalam tin, sayur-sayuran, beras dan tepung.
“Palet kami harus disaring dan dimuatkan menjelang penghujung waktu Cyprus,” kata WCK dalam satu kenyataan namun tidak menyatakan waktu tepat kapal itu akan berlayar.
Cyprus sedang menyaring kargo bantuan di pulau itu dalam proses menghapuskan pemeriksaan keselamatan di destinasi pemunggahan.
Sebuah kapal yang membawa hampir 200 tan bantuan makanan ke Gaza meninggalkan Cyprus Selasa lalu, mencatatkan laluan baharu untuk menghantar bekalan kecemasan kepada agensi kemanusiaan di mana penduduk berisiko mengalami kebuluran selepas lebih lima bulan perang.
WCK yang bekerjasama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta badan amal Sepanyol, Proactiva Open Arms dan menerima sokongan penuh daripada kerajaan Cyprus bagaimanapun enggan memberikan butiran pelayaran atas sebab keselamatan.
Pengasas WCF, Jose Andres dalam satu kiriman di laman X berkata, badan amal itu sedang menyediakan jeti di Gaza untuk menerima bantuan sepanjang hampir 60 meter.
Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan jentolak mengundur di atas jeti runtuhan padat di pantai Gaza.
Di Nicosia, Menteri Luar, Cyprus Constantinos Kombos berkata, mesyuarat peringkat tinggi akan berlangsung pada 21 Mac ini untuk menyelaraskan pengagihan bantuan selanjutnya.
Usaha dilakukan badan antarabangsa untuk mendapatkan lebih banyak keperluan ke Semenanjung Gaza selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang kebuluran dan penduduk terdesak yang menyerbu konvoi bantuan.
Bantuan harian digugurkan dari udara oleh beberapa negara sejak awal bulan ini dengan Jerman mengumumkan akan menyertai usaha itu.
Namun 25 organisasi termasuk Amnesty International dan Oxfam dalam satu kenyataan berkata, misi udara dan laut bukan alternatif untuk menggantikan penghantaran darat
Setiausaha Agung Amnesty, Agnes Callamard berkata, masyarakat antarabangsa seolah-olah sudah menerima bahawa perang akan berlarutan.
“Mengapa anda membuat pelaburan yang akan mengambil masa dua bulan?,” tegasnya, merujuk kepada garis masa Pentagon untuk menubuhkan jeti sementara yangmembolehkan penyediaan lebih dua juta makanan sehari.-REUTERS










