ADEN: Kapal kargo Rubymar milik United Kingdom (UK) yang diserang kumpulan pemberontak Houthi di Laut Merah bulan lalu dilaporkan tenggelam dan kini dikhuatiri bakal mencetuskan malapetaka alam sekitar besar di kawasan perairan berkenaan.
Jika disahkan, ia akan menjadi kehilangan kapal pertama sejak Houthi mula menyasarkan perkapalan komersial pada November lalu, hingga memaksa banyak firma memilih laluan lebih panjang dan mahal di sekitar Afrika Selatan.
Kementerian Pengangkutan Houthi berkata, terdapat gangguan dalam kabel komunikasi dasar laut di Laut Merah akibat tindakan kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) dan Britain namun tidak memberikan butiran lanjut.
Isnin lalu, pasukan kerajaan Yemen meninjau keadaan Rubymar, sebuah kapal kargo berbendera Belize dan mendakwa sebahagiannya sudah tenggelam.
Kenyataan kerajaan yang dikeluarkan Sabtu lalu mengatakan kapal itu karam di selatan Laut Merah pada malam Jumaat lalu.
Tentera AS sebelum ini berkata, serangan Houthi merosakkan sebahagian besar kapal pengangkut membawa lebih 41,000 tan metrik baja itu dan menyebabkan tompokan minyak sejauh 29 kilometer.
Menteri Luar Yemen, Ahmed Awad Mubarak dalam catatannya di laman X berkata, Rubymar yang tenggelam berpotensi mencetuskan malapetaka alam sekitar yang belum pernah dialami Yemen dan wilayah sekitarnya sebelum ini.
“Ia adalah tragedi baharu untuk negara dan rakyat kami. Setiap hari kita membayar harga yang mahal untuk pengembaraan Houthi,” katanya.
Perkara sama turut disuarakan Pengarah Stesen Sains Marin Universiti Jordan, Ali Al-Sawalmih yang menegaskan pembebasan sejumlah besar baja ke Laut Merah menimbulkan ancaman serius kepada banyak hidupan marin.
“Beban nutrien yang berlebihan boleh merangsang pertumbuhan alga, menggunakan begitu banyak oksigen sehingga hidupan marin biasa tidak dapat bertahan. Proses ini dipanggil eutrofikasi.
“Pelan segera harus diguna pakai oleh negara-negara di sekitar Laut Merah untuk mewujudkan agenda pemantauan kawasan tercemar serta melaksanakan strategi pembersihan segera,” katanya.-REUTERS











