NEW DELHI: India dilaporkan melaksanakan undang-undang kewarganegaraan, beberapa minggu sebelum negara paling ramai penduduk di dunia itu bakal mengadakan pilihan raya umum.
Para pengkritik menyifatkan undang-undang baharu itu mendiskriminasi penduduk Islam.
Undang-undang itu diluluskan di Parlimen pada Disember 2019, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan selepas ia mencetuskan rusuhan ganas meluas sehingga lebih 100 orang terbunuh.
Undang-undang itu memudahkan penduduk beragama Hindu, Parsis, Sikh, Buddha, Jain dan Kristian yang memasuki republik itu dari Pakistan, Afghanistan dan Bangladesh sebelum Disember 2014 memohon kewarganegaraan India, kecuali yang beragama Islam.
Kementerian Dalam Negeri India mengesahkan undang-undang baharu itu kini akan dikuatkuasakan.
“Undang-undang yang dikenali sebagai Peraturan Kewarganegaraan (Pindaan) 2024 membolehkan individu yang layak memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan India.
“Malah, undang-undang ini membolehkan golongan minoriti yang dianiaya atas dasar agama di Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan memperoleh kerakyatan negara ini,” kata Menteri Dalam Negeri, Amit Shah dalam satu kenyataan.
Ramai dalam kalangan 200 juta penduduk Islam di India menyuarakan kebimbangan bahawa undang-undang itu mungkin menjadi pendahulu kepada Daftar Warganegara Kebangsaan yang boleh mengakibatkan mereka tidak mempunyai kewarganegaraan di negara itu.
Sebahagian besar penduduk India yang miskin dikatakan tidak mempunyai dokumen untuk membuktikan kewarganegaraan mereka.
Perdana Menteri, Narendra Modi menafikan perkara itu, dengan menyatakan bahawa penduduk Islam tidak dilindungi dibawah undang-undang berkenaan kerana golongan itu tidak memerlukan perlindungan India.
Setakat ini, Daftar Warganegara Kebangsaan hanya dilaksanakan di negeri Assam.
Sebelum ini, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi berjanji pelaksanaan undang-undang itu dalam manifesto pilihan raya 2019. – AFP










