THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk dua komander tertinggi Russia atas tuduhan melakukan jenayah perang di Ukraine.
Lapor BBC, Sergei Kobylash dan Viktor Sokolov yang masing-masing merupakan leftenan jeneral tentera dan laksamana tentera laut antara dua pegawai kanan yang dinamakan oleh ICC.
Menurut ICC, waran tangkap tersebut dikeluarkan selepas mendapati wujudnya alasan munasabah untuk mempercayai bahawa kedua-dua suspek bertanggungjawab atas serangan peluru berpandu terhadap infrastruktur elektrik Ukraine yang dilancarkan oleh tentera di bawah arahan mereka.
Jelas ICC, serangan itu didakwa berlaku antara Oktober 2022 dan Mac tahun lalu.
ICC memaklumkan serangan itu juga menyebabkan kerosakan besar selain membawa kemudaratan kepada orang awam.
“Kedua-dua lelaki itu `masing-masing didakwa bertanggungjawab atas jenayah perang dalam mengarahkan serangan menyasarkan harta benda awam’ dan juga dituduh melakukan jenayah terhadap kemanusiaan,” kata ICC.
Kobylash, 58, merupakan komander penerbangan jarak jauh bagi unit tentera udara Russia semasa kejadian itu didakwa berlaku.
Sokolov, 61, pula adalah laksamana tentera laut Russia yang memimpin armada Laut Hitam Russia sepanjang tempoh itu.
Moscow sebelum ini pernah menafikan melancarkan serangan menyasarkan infrastruktur awam di Ukraine.
Ia merupakan waran tangkap kedua yang dikeluarkan terhadap pegawai Russia berhubung perang di Ukraine.
Sebelum ini, ICC mengeluarkan waran tangkap pertama ke atas Presiden Russia, Vladimir Putin dan wakil hak anak-anaknya.
Russia tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah itu sekali gus menjadikannya perkara mustahil bahawa pegawai berkenaan akan dihantar pulang untuk menghadapi pertuduhan.










