PORT AU PRINCE: Kerajaan Haiti mengisytiharkan darurat dan melaksanakan perintah berkurung selepas serangan besar yang diketuai kumpulan penjenayah meletus pada hujung minggu lalu.
Situasi itu turut menyaksikan ribuan banduan melarikan diri selepas serangan ke atas dua penjara terbesar di negara itu.
Lapor Al Jazeera, darurat selama 72 jam berkuat kuasa serta merta di Haiti.
Malah, kerajaan menegaskan akan berusaha mencari pihak melakukan jenayah termasuk membunuh dan menculik yang berjaya melarikan diri dalam serangan itu.
Perintah berkurung itu akan berkuat kuasa dari pukul 6 petang hingga 5 pagi (waktu tempatan).
“Polis diarahkan menggunakan semua pendekatan undang-undang sedia ada untuk menguatkuasakan perintah berkurung dan menahan semua pesalah,” jelas kenyataan Menteri Kewangan Haiti, Patrick Boisvert yang memangku jawatan Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Ariel Henry kini berada di luar negara untuk cuba mendapatkan sokongan bagi pasukan keselamatan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar dapat menstabilkan negaranya yang dilanda konflik dengan kumpulan jenayah.
Kumpulan penjenayah yang diketuai Jimmy Cherizier dikatakan cuba menyingkirkan Henry daripada jawatannya.
Kerajaan Haiti menerusi kenyataan memaklumkan polis cuba menangkis serangan kumpulan penjenayah terhadap penjara dan di pusat penahanan lain dikenali sebagai Croix des Bouquets.
Sementara itu, Rangkaian Kebangsaan Pertahanan Hak Asasi Manusia, Pierre Esperance memaklumkan hanya kira-kira 100 daripada jumlah 3,800 banduan masih kekal di penjara selepas serangan pada malam Sabtu.
“Kami juga melihat banyak mayat banduan,” katanya.
Seorang wartawan AFP yang melawat penjara itu mendakwa melihat kira-kira 12 mayat banduan di luar.
“Pintu terbuka dan tiada sesiapa yang berada di dalamnya,” katanya.
Agensi Reuters melaporkan tiada anggota polis berada di penjara dan pintu utamanya terbuka.
“Saya satu-satunya individu berada di sel penjara. Saya sedang tidur ketika terdengar bunyi das tembakan. Pintu sel juga dipecahkan,” kata seorang banduan yang enggan mendedahkan nama.










