LONDON: Polis United Kingdom (UK) memaklumkan berjaya menemukan semula sebuah kereta Ferrari yang dipercayai dicuri hampir tiga dekad lalu.
Ferrari F512M milik bekas pelumba Formula Satu (F1), Gerhard Berger merupakan antara dua kereta sport yang dicuri di Imola, Itali semasa penganjuran Grand Prix San Marino pada April 1995.
Kedua-dua kereta berkenaan tidak pernah ditemukan sehingga Polis Metropolitan London menerima maklumat pada Januari lalu mengenai sebuah Ferrari yang dicuri dalam proses dijual kepada pembeli warga Amerika Syarikat (AS).
Jabatan Jenayah Kenderaan di bawah Polis Metropolitan London menjalankan siasatan dan mendapati kereta mewah itu dibawa ke Britain dari Jepun pada akhir tahun lalu.
Polis berjaya merampas kereta itu yang dikatakan bernilai hampir 350,000 pound (RM2.1 juta).
“Kami melakukan siasatan menyeluruh termasuk menghubungi pihak berkuasa dari seluruh dunia.
“Pasukan kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi lain termasuk Agensi Pencegahan Jenayah Kebangsaan dan pengedar Ferrari dan kereta antarabangsa.
“Kerjasama ini amat penting dalam memahami latar belakang kenderaan dan menghalangnya daripada dibawa keluar dari negara ini,” kata Konstabel Mike Pilbeam yang mengetuai siasatan itu.
Setakat ini, tiada mana-mana individu ditahan dan kereta Ferrari kedua yang dicuri masih hilang. – AP










