KYIV: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan lapan orang cedera selepas sebuah dron milik Russia merempuh bangunan apartmen yang terletak di bandar Odesa, selatan Ukraine.
Menurut pihak berkuasa, enam orang dilaporkan masih hilang dalam kejadian itu.
“Russia terus melakukan serangan menyasarkan orang awam. Sebuah dron milik negara itu merempuh bangunan kediaman di bandar pelabuhan Odesa.
“Kira-kira 19 apartmen musnah dalam serangan dron itu,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi aplikasi Telegram.
Rakaman video yang disiarkan Zelensky menunjukkan sebuah bangunan apartmen rosak teruk, dengan bahagian beberapa tingkat musnah.
Dalam video itu, puluhan anggota penyelamat berusaha membersihkan serpihan runtuhan di atas tanah.
Menurut Zelensky, dron digunakan Russia merupakan jenis Shahed yang merupakan dron kamikaze bersayap besar buatan Iran.
Russia melancarkan ribuan serangan dron Shahed sepanjang perang ke sasaran jauh di Ukraine.
Sementara itu, Gabenor wilayah Odesa, Oleh Kiper berkata, ketika ini, kerja-kerja pembersihan runtuhan sedang dijalankan di lokasi kejadian.
Katanya, seorang mangsa yang masih hidup berjaya ditarik keluar dari bawah runtuhan. – REUTERS










