GRAND RAPIDS: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menang mudah dalam kaukus Republikan di Michigan walaupun dilaporkan berdepan perpecahan dalam parti itu.
Menurut Edison Research, Trump turut memenangi kaukus Republikan di Missouri dan Idaho pada Sabtu lalu.
Di ketiga-tiga negeri, Trump mengalahkan pesaingnya, Nikki Haley untuk pencalonan Presiden Republikan dan kemungkinan pertembungan semula dengan Presiden, Joe Biden yang dijangka mewakili Demokrat dalam pilihan raya umum November ini.
Di Michigan, Trump menewaskan Haley di semua 13 daerah yang mengambil bahagian dalam kaukus pencalonan tersebut.
Secara keseluruhan, Trump berjaya meraih hampir 98 peratus sokongan dengan memperoleh 1,575 undi berbanding hanya 36 untuk Haley.
Pengerusi Parti Republikan Michigan, Pete Hoekstra menyifatkannya sebagai kemenangan yang luar biasa dan percaya Trump akan terus mendominasi sokongan menjelang konvensyen pencalonan kebangsaan parti itu pada Julai ini.
Namun pergolakan dalaman dilaporkan merebak sejak beberapa bulan lalu antara penyokong bekas Pengerusi Parti Republikan Michigan, Kristina Karamo yang digulingkan pada 6 Januari lalu dan Hoekstra yang dilantik menggantikannya.
Hoekstra yang disokong Trump sebagai pengerusi, menyelia konvensyen di Grand Rapids.
Karamo dikatakan merancang mempengerusikan konvensyen pertarungan di Detroit Sabtu lalu, tetapi dibatalkan selepas mahkamah Michigan mengesahkan penyingkirannya dan mahkamah rayuan menolak permintaannya untuk menangguhkan keputusan itu.
Penyokong pro-Karamo mengadakan dua pertemuan berasingan di Grand Rapids sebagai tanda protes namun dijangka tidak menjejaskan jawatankuasa parti Republikan yang mengiktiraf perlantikan Hoekstra -REUTERS










