China sekat guna cip Intel dan AMD dalam komputer kerajaan

China sekat guna cip Intel dan AMD dalam komputer kerajaan

CHINA mengeluarkan peraturan baharu menyekat penggunaan cip AMD dan Intel dalam peranti kerajaan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China memperkenalkan garis panduan baharu untuk menyekat penggunaan cip mikropemproses Intel dan AMD buatan Amerika Syarikat (AS) secara berperingkat daripada komputer dan pelayan peribadi kerajaan.

Menurut laporan Financial Times, panduan perolehan baharu itu juga bertujuan untuk menyingkirkan sistem pengendalian Windows Microsoft dan perisian pangkalan data buatan asing bagi membuka peluang kepada pilihan domestik.

Agensi kerajaan di atas peringkat perbandaran turut diberitahu untuk memasukkan kriteria yang memerlukan pemproses dan sistem pengendalian selamat serta boleh dipercayai semasa membuat sebarang pembelian.

 Kementerian industri China pada akhir Disember lalu mengeluarkan kenyataan dengan tiga senarai berasingan unit pemprosesan pusat (CPU), sistem pengendalian dan pangkalan data berpusat yang dianggap selamat dan boleh dipercayai selama tiga tahun selepas tarikh penerbitan, semuanya dari syarikat tempatan. 

Pejabat Penerangan Majlis Negeri, yang mengendalikan pertanyaan media, Kabinet China termasuk Intel dan AMD bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen berhubung isu tersebut.

AS menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran semikonduktor domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada China dan Taiwan melalui Akta CHIPS dan Sains 2022 yang dikuatkuasakan sepanjang pentadbiran Presiden, Joe Biden.

Akta itu digubal untuk menyokong idustri semikonduktor AS termasuk menyediakan bantuan kewangan untuk pengeluaran domestik dengan pemberian subsidi bagi penghasilan cip termaju.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN