TOKYO: Kira-kira 900 jam tangan mewah yang bernilai hampir AS$13 juta (RM60.98 juta) dilaporkan hilang di Jepun selepas sebuah premis yang memberi perkhidmatan penyewaan ditutup dan pemiliknya melarikan diri ke Dubai.
Menurut laporan media tempatan, pemilik Rolex dan jam tangan mahal lain meraih bayaran deposit bulanan dengan meminjamkannya kepada Toke Match yang berpangkalan di Osaka, yang kemudiannya akan menyewakan kepada pelanggan.
Syarikat mengendalikan Toke Match iaitu Neo Reverse pada 31 Januari lalu mengumumkan penamatan perkhidmatannya dan berjanji akan memulangkan semua jam tangan.
Bagaimanapun, akhbar Asahi Shimbun dan media lain melaporkan pemilik kira-kira 900 jam tangan bernilai 1.9 bilion yen (RM63.97 juta) masih belum menerima jam tangan masing-masing.
Beberapa jam tangan itu bahkan dikesan di laman lelongan dalam talian, mendorong pemilik memfailkan berpuluh-puluh aduan kepada polis di seluruh Jepun.
Dalam pada itu, pengendali laman lelongan Valuence Japan mengesahkan sekurang-kurangnya 20 jam tangan dikendalikannya didapati mempunyai nombor siri yang sepadan dengan dipinjamkan kepada Toke Match.
“Kami segera menghentikan lelongan jam tangan ini untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku selanjutnya melalui penjualan semula,” kata seorang jurucakap pada minggu lalu.
Jelas jurucakap itu, sebahagian daripada jam tangan itu sudah berada di laman lelongan sebelum perkhidmatan Toke Match ditamatkan.
Sementara itu, Sharing Economy Association, Jepun menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan beberapa jam tangan itu juga dilelong di kedai terpakai.
Kata persatuan itu, saiz pasaran ‘ekonomi perkongsian’ Jepun berkembang pesat, mencecah AS$17 bilion (RM79.7 bilion ) pada tahun fiskal yang lalu.
Neo Reverse merupakan antara 400 ahli organisasi namun sudah dinyahsenarai pada 1 Februari lalu berikutan aduan oleh pemilik yang melaporkan jam tangan mereka tidak dipulangkan.
Jiji Press memetik sumber penyiasatan melaporkan polis Tokyo mengeluarkan waran tangkap ke atas pemilik Toke Match, Takazumi Kominato, 42, kerana disyaki melakukan penyelewengan jam tangan Rolex.
Jelas laporan itu, dia disyaki menjual jam tangan jenama Rolex yang dipinjamkannya daripada pemilik kepada pengedar terpakai pada harga 650,000 yen pada Januari lalu.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, Kominato meninggalkan Jepun pada akhir bulan lalu untuk ke Dubai dan polis merancang untuk meletakkannya dalam senarai dikehendaki antarabangsa. – AFP










