KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy merayu penghantaran lebih banyak senjata kepada pasukan tenteranya bagi mengelak situasi malapetaka di Eropah.
Ketika menghadiri persidangan antarabangsa di Jerman, Zelenskyy menegaskan defisit senjata buatan hanya akan membantu Russia mencapai cita-citanya memusnahkan Ukraine.
Katanya, tentera Ukraine kehabisan peluru berikutan sokongan penting yang sering dihantar Amerika Syarikat (AS) disekat oleh penyokong bekas Presiden, Donald Trump di Kongres.
“Jika Trump sudi datang, saya bersedia untuk pergi bersamanya melawat barisan hadapan kami. Melihat apa maksud sebenar perang, bukan hanya di Instagram,” katanya.
Awal minggu ini, Senat AS meluluskan pakej bantuan asing AS $95 bilion (RM454 bilion) termasuk AS$60 bilion (RM286 bilion) untuk Ukraine tetapi berdepan jalan sukar di Dewan Perwakilan apabila majoriti ahli Parti Republikan yang setia kepada Trump menolak langkah itu.
Presiden AS, Joe Biden bagaimanapun memberi jaminan kepada Zelenskyy semasa panggilan telefon kelmarin bahawa pihaknya komited untuk menyokong perjuangan Ukraine menentang pencerobohan kejam Russia.
“Biden juga berkata, tentera Ukraine terpaksa berundur dari Avdiivka selepas mencatu senjata akibat ketidakaktifan Kongres. Situasi itu mengakibatkan keuntungan ketara pertama Russia dalam beberapa bulan,” jelas White House dalam satu kenyataan.
Avdiivka merupakan pintu masuk ke ibu kota wilayah Donetsk yang dirampas Russia dan menyaksikan beberapa pertempuran paling sengit sebelum komander tertinggi tentera Ukraine mengumumkan berundur dari kawasan itu.
Dalam pada itu, Zelenskyy menegaskan, beliau menghargai sokongan penuh Biden dan berharap Kongres AS akan membuat keputusan bijak meluluskan pakej bantuan yang terhenti untuk Ukraine.
“Presiden Russia, Vladimir Putin akan mencetus malapetaka kepada lebih banyak negara di masa depan jika dunia Barat tidak menentangnya.
“Jangan tanya Ukraine bila perang akan tamat. Tanya diri sendiri, kenapa Putin masih mampu meneruskannya,” ujar Zelenskyy.










