TAIPEI: Kira-kira lapan belon milik China dikesan berada sekitar Taiwan, dengan dua daripadanya dilaporkan terbang melintasi ruang udara negara itu.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Pertahanan Taipei dalam satu kenyataan.
Menurut kementerian, belon berkenaan dikesan semalam, sehari sebelum permulaan cuti Tahun Baharu Cina, pada ketinggian antara 4,572 meter hingga 11,582.4 meter.
Ia merupakan jumlah tertinggi yang dikesan sejak kementerian secara kerap mengeluarkan data mengenai penampakan belon sejak Disember tahun lalu.
China mendakwa Taiwan sebahagian wilayahnya dan tidak pernah menolak penggunaan kekerasan untuk membawa wilayah separa autonomi itu di bawah kawalannya.
Beijing meningkatkan tekanan ketenteraan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah, China juga pernah mengerahkan pesawat perang dan kapal tentera laut mengelilingi sekitar pulau hampir setiap hari.
Pada Februari tahun lalu, tentera Taiwan memaklumkan kepada pihak berkuasa penerbangan selepas mengesan sebuah belon berlegar-legar di ruang udara negara itu.
Bagaimanapun, maklumat tambahan termasuk lokasi terperinci dan dari mana datangnya belon itu tidak dinyatakan. – AFP










