MOSCOW: Russia dan Ukraine mengesahkan kedua-dua negara itu melakukan siri pertukaran tawanan perang membabitkan tentera yang ditahan.
Ia merupakan pertukaran yang pertama sejak insiden sebuah pesawat Russia yang didakwa membawa 65 tawanan perang warga Ukraine terhempas di wilayah Belgorod.
Lapor BBC, tentera Russia memaklumkan kedua-dua pihak saling menerima kepulangan seramai 195 askar.
Presiden Volodymyr Zelensky pula menyatakan Moscow `memulangkan’ seramai 207 tentera Ukraine.
Ia merupakan pertukaran tawanan perang yang ke-50 sejak Presiden Russia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan pertukaran tahanan itu selesai selepas rundingan diadakan.
“Anggota tentera yang dibebaskan dibawa dengan menaiki pesawat pengangkut tentera ke Moscow untuk mendapatkan rawatan.
“Kesemua individu berkenaan diberikan bantuan perubatan dan psikologi yang diperlukan,” jelas kenyataan itu.
Rakaman dikeluarkan kementerian dikatakan menunjukkan tawanan askar Russia sedang menaiki bas sebelum penerbangan mereka ke Moscow.
Sementara itu, Zelensky menerusi hantaran di media sosial menyatakan tahanan Ukraine sudah pulang.
“Rakyat kita sudah kembali, seramai 207 daripadanya. Kami pulangkan mereka ke rumah walau apa pun keadaannya.
“Kami masih ingat setiap warga Ukraine yang ditahan sama ada pejuang mahupun orang awam.
“Kita harus membawa pulang mereka semua,” katanya sambil mengucapkan terima kasih pegawai keselamatan tertinggi Ukraine yang menjayakan pertukaran tawanan perang terbaharu.
Sebelum ini, Kyiv pernah mempersoalkan dakwaan Moscow bahawa tawanan perang warga Ukraine berada di dalam pesawat yang terhempas pada minggu lalu.
Putin mendakwa pesawat pengangkut tentera Il-76 ditembak jatuh oleh Ukraine di wilayah Belgorod menggunakan sistem Patriot Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, pemimpin itu tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong kenyataannya.










