THE HAGUE: Beratus-ratus petani mengadakan protes di beberapa bahagian di Belanda dengan menyekat lebuh raya selain bertindak membakar jerami dan tayar di jalan raya bagi menuntut tindakan segera kerajaan terhadap permintaan mereka.
Perkara itu dimaklumkan oleh polis dan laporan media tempatan.
Protes itu adalah terbaharu dalam siri gelombang demonstrasi dilancarkan di seluruh Eropah oleh petani yang menuntut cukai bahan api lebih rendah, harga lebih baik untuk produk pertanian dan pelonggaran peraturan alam sekitar Kesatuan Eropah (EU).
“Kebakaran berlaku di sekitar kawasan, bunga api dinyalakan dan traktor petani berkumpul di lebuh raya,” kata polis di wilayah tengah Gelderland di aplikasi X.
Polis memaklumkan tindakan sudah diambil namun tidak menyatakan sama ada penahanan juga dilakukan.
Petani di Belanda dan Belgium melancarkan protes besar-besaran sejak minggu lalu, dengan menyertai petani lain dalam bantahan yang meletus di Perancis pada bulan lalu.
Sejak itu, protes tersebut merebak ke Jerman, Poland, Romania dan Greece.
Petani meluahkan kemarahan terhadap apa yang dikatakan sebagai peraturan terlalu mengehadkan pertanian dan persaingan tidak adil antara rungutan lain dibangkitkan.
EU pula sedang berusaha menangani kebimbangan tersebut menjelang pilihan raya Parlimen Eropah pada tahun ini.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Eropah berjanji melaksanakan langkah mempertahankan `kepentingan’ para petani EU dalam rundingan perdagangan. – AFP










