SINGAPURA: Ramai golongan bujang di Singapura mendapatkan perkhidmatan bantuan profesional untuk mencari jodoh.
Lapor Channel News Asia, agensi janji temu berkenaan mengaitkan peningkatan permintaan perkhidmatan itu berikutan lebih ramai mahu pendekatan yang lebih tersusun dan boleh dipercayai untuk bertemu pasangan mereka.
Malah, jelas agensi itu, apa yang mengejutkan adalah individu seawal usia 20-an turut menyumbang kepada lonjakan pelanggan tersebut.
Sebuah agensi janji temu menyatakan pihaknya menyaksikan pertambahan sebanyak 30 peratus dalam jumlah pendaftaran dan pertanyaan sepanjang dua tahun lalu, dengan ramai ahli baharu dari seawal usia 21 tahun.
Peneraju agensi GaiGai, Sharon Ng menyifatkan peralihan dalam demografi itu sebagai trend yang tidak dijangkakan dan perubahan drastik.
“Dulu, pelanggan kami yang paling muda berumur antara 25 hingga 27 tahun.
“Namun, sejak tahun lalu, kami menyaksikan pertambahan pelanggan daripada umur 21 hingga 24 tahun.
“Saya juga pernah bertanya kepada pelanggan itu mengapa memilih khidmat agensi janji temu sedangkan mereka masih muda lagi,” katanya.
Sementara itu, agensi janji temu Lunch Actually mengakui turut mengalami perubahan serupa membabitkan bilangan pelanggannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Lunch Actually, Violet Lim, syarikat itu biasanya menawarkan perkhidmatan kepada individu berusia lewat 20-an hingga 40-an.
Namun, katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih ramai individu bujang seawal usia 21 tahun mendapatkan perkhidmatan agensi berkenaan.
Katanya, selain pelanggan muda, kumpulan usia tua juga semakin mencari perkhidmatan janji temu sedemikian.
“Kami juga sedang menyaksikan peningkatan dalam pelanggan berusia 50-an, 60-an dan 70-an.
“Ramai yang sudah bercerai atau janda dan duda mencari peluang kedua untuk bercinta,” katanya.










