JAKARTA: Kira-kira 100,000 orang memenuhi stadium di Jakarta untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran menyokong calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Perhimpunan kempen terakhir Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 diadakan hari ini, sebelum pengundian bakal berlangsung pada minggu depan.
Puluhan ribu penyokong juga hadir pada kempen terakhir calon presiden lain, Anies Baswedan dan Ganjar Prabowo dalam persaingan memimpin negara itu.
Prabowo yang bertanding untuk kali ketiga dilaporkan sedang mendahului dua pesaingnya, Anies dan Ganjar menjelang pengundian pada Rabu depan.
Ucapan Prabowo yang penuh bersemangat disambut dengan tepukan dan sorakan hadirin di stadium.
“Kami akan berjuang untuk membawa kemakmuran bagi seluruh rakyat Indonesia.
“Kami akan meneruskan apa yang sudah dibina oleh presiden terdahulu,” kata Prabowo ketika menyampaikan ucapan.
Dilaporkan, ramai penyokong Menteri Pertahanan Indonesia itu memakai baju biru, malah ada yang tertera imej kartun AI wajah pemimpin itu yang sinonim dengan kempennya.
Pemimpin berusia 72 tahun itu berkempen dengan ikrar untuk membasmi kemiskinan tegar, menyediakan makanan sekolah percuma kepada kanak-kanak dan susu kepada wanita hamil serta meneruskan usaha pembangunan Presiden Jokowi.
Jalan-jalan di sekitar ibu kota sesak dengan motosikal dan kereta yang menuju ke perhimpunan berkenaan.
Wartawan AFP melaporkan, pintu masuk ke stadium di Jakarta utara, lokasi Anies berucap kepada penyokongnya menjadi begitu sesak sehingga beberapa orang pengsan.
Ramai yang sudah berkhemah sejak semalaman untuk menghadiri acara tersebut.
Sementara itu, Ganjar mengadakan dua acara pada hari ini membabitkan di Semarang dan Surakarta.
Lebih 204 juta rakyat Indonesia akan menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memilih presiden, ahli Parlimen dan ribuan pegawai tempatan pada 14 Februari ini.
Proses pengundian akan dilaksanakan di lebih 800,000 pusat mengundi di seluruh Indonesia.- AFP










