Pendapatan pelancongan China atasi tahap pra-Covid-19

Pendapatan pelancongan China atasi tahap pra-Covid-19

ORANG ramai menunggu untuk menaiki kereta api di Stesen Kereta Api Selatan Beijing di China. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Data rasmi menunjukkan pendapatan industri pelancongan di China semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina yang berakhir pada Sabtu lalu, meningkat sebanyak 47.3 peratus tahun ke tahun dan melepasi paras direkodkan pada 2019.

Peningkatan itu sebahagian besar disebabkan lonjakan dalam perjalanan domestik di negara itu. 

Data tersebut mungkin menawarkan `kelegaan’ sementara kepada pembuat dasar ketika ekonomi kedua terbesar dunia itu berdepan risiko deflasi di tengah-tengah permintaan pengguna yang lemah.

Namun, kemapanan rangsangan pelancongan adalah tidak menentu dan pendapatan pelancongan bagi setiap perjalanan kekal di bawah paras pra-pandemik.

Semasa cuti Tahun Baru Cina yang melibatkan penghijrahan tahunan berskala besar di dunia, tarikan pelancong di seluruh republik itu menyaksikan kehadiran orang ramai.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, perbelanjaan pelancongan domestik melonjak sebanyak 47.3 peratus kepada 632.7 bilion yuan (RM 421.47 bilion) berbanding tempoh cuti sama pada tahun lalu.

Jumlah perjalanan domestik yang dilakukan semasa cuti tahun ini meningkat sebanyak 34.3 peratus berbanding tahun lalu, yang berjumlah 474 juta. 

Menurut data kementerian, perbelanjaan pelancongan domestik meningkat sebanyak 7.7 peratus dan perjalanan domestik pula melonjak 19 peratus berbanding cuti Tahun Baharu Cina 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Namun, cuti perayaan Tahun Baru Cina 2024 berlangsung selama lapan hari, lebih sehari berbanding cuti disambut pada 2019.

Kementerian tidak mengemukakan pecahan perbelanjaan pelancongan bagi setiap perjalanan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan Reuters dengan mengambil kira data kementerian, purata perbelanjaan bagi setiap perjalanan semasa cuti tahun ini mencecah 1,335 yuan (RM889.15) iaitu menurun 9.5 peratus berbanding 1,475 yuan (RM982.39) yang dicatatkan pada 2019.

Sementara itu, menurut Pentadbiran Imigresen Kebangsaan, China menyaksikan kira-kira 13.52 juta perjalanan masuk dan keluar semasa cuti perayaan untuk perjalanan antarabangsa.

Jumlah itu dilaporkan meningkat sebanyak 2.8 kali ganda berbanding tempoh cuti yang sama pada tahun lalu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN