LONDON: Syarikat pemaju di United Kingdom (UK) digesa untuk membina lebih banyak rumah yang berkualiti di negara itu.
Malah, Pihak Berkuasa Persaingan dan Pasaran (CMA) turut menggesa kerajaan memperkemaskan lagi sistem perancangan untuk memperbaiki krisis kekurangan rumah yang mendorong kenaikan harga.
“Projek pembinaan rumah di Britain memerlukan campur tangan agar kediaman yang berkualiti dibina di lokasi yang mendapat permintaan orang ramai,” kata ketua eksekutif CMA, Sarah Cardell.
Selain itu, CMA memaklumkan pihaknya akan menyiasat sama ada pemaju rumah berkongsi maklumat sensitif secara komersial dan jika tindakan itu `melemahkan’ persaingan.
Antara syarikat pemaju rumah terbesar di Britain terdiri daripada Barratt, Bellway, Berkeley, Bloor Homes, Persimmon, Redrow, Taylor Wimpey dan Vistry.
Indeks ekuiti syarikat pemaju rumah di UK menjunam dua peratus awal dagangan, dengan saham syarikat terbesar paling banyak menurun.
Sementara itu, Persekutuan Pemaju Rumah enggan mengulas mengenai kajian CMA yang dijalankan selama setahun.
Bagaimanapun, badan perundangan utama industri itu menyambut baik kajian itu yang memberi tumpuan terhadap `halangan kepada pembinaan rumah’ yang merupakan sistem perancangan.
Krisis perumahan sudah lama menjadi masalah politik di Britain, dengan kekurangan hartanah meningkatkan kos sekaligus menjadikan ramai orang muda terpaksa membayar sewa tinggi dan tidak dapat memiliki rumah sendiri.
Kerajaan dalam persiapan untuk menyediakan kira-kira sejuta rumah baharu menjelang pilihan raya umum yang dijangka berlangsung akhir tahun ini.
Bagaimanapun, kerajaan mungkin akan terlepas komitmen untuk membina kira-kira 300,000 rumah baharu setiap tahun di England pada pertengahan 2020an. – REUTERS











