BEIJING: Seorang pelari maraton China yang terkenal dengan aktiviti merokok semasa menyertai larian rasmi, diharamkan daripada memasuki sebarang pertandingan selama dua tahun selepas ramai mengadu tentang kelakuannya itu yang disifatkan tidak beradab.
Chen Mouxian, atau dikenali sebagai ‘Uncle Chen’, mula menjadi tajuk utama berita antarabangsa pada 2022, apabila gambarnya ketika menyertai Maraton Xin’anjiang tular di media sosial.
Pelari berpengalaman berusia 50 tahun itu menarik perhatian ramai kerana dia sentiasa mempunyai sebatang rokok di mulutnya, dan terus menyalakan yang baharu sehingga ke garisan penamat.
Mouxian mencetuskan kontroversi di media sosial China, dengan beberapa pengguna memuji kebolehannya dalam bersukan.
Namun kebanyakan warga net mengkritiknya kerana mempromosikan tabiat tidak sihat dan mendedahkan pelari lain kepada asap tembakau yang berbahaya.
Bulan ini, Mouxian dilarang daripada menyertai maraton selama dua tahun selepas sekali lagi dilihat merokok sepanjang lariannya dalam acara Marathon Xiamen 2024 di Fujian pada 7 Januari lalu.
Penganjur tidak berpuas hati dengan tabiat buruknya itu walaupun Mouxian yang merupakan pengasas bersama Persatuan Larian Zhejiang Xianju dan Maraton Wilayah Zhejiang berjaya menamatkan larian sepanjang 42.1 kilometer dengan mencatat masa tiga jam dan 33 minit.
Berikutan kontroversi mengenai tabiat merokok tersebut, Persatuan Olahraga China (CAA) turut mencadangkan peraturan baharu membatalkan penyertaan semua atlet yang gemar merokok semasa pertandingan rasmi.- AGENSI










