JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dianugerahkan pangkat jeneral empat bintang oleh Presiden, Joko Widodo (Jokowi), langkah yang mencetus kontroversi kerana beliau pernah dipecat daripada tentera 26 tahun lalu.
Penganugerahan tersebut diberikan dalam acara yang diadakan di ibu pejabat Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Cilangkap, Jakarta Timur.
Kumpulan hak asasi manusia mengkritik anugerah itu berikutan dakwaan penglibatannya dalam kehilangan aktivis pada akhir 1990-an.
Pakar politik turut menggelar gerakan terbaharu Jokowi sebagai membingungkan dan suatu langkah yang tidak perlu.
Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid menyifatkan penganugerahan itu sebagai keputusan bermasalah daripada perspektif moral dan etika.
Gabungan Masyarakat Sivil yang terdiri daripada pelbagai aktivis hak asasi manusia dan badan bukan kerajaan (NGO), menggelarnya sebagai langkah yang salah.
Bagaimanapun, Jokowi menolak kritikan tersebut dan menepis dakwaan bahawa langkah itu adalah satu transaksi politik.
“Jika ini adalah transaksi politik, ia akan diberikan sebelum pilihan raya. Bagaimanapun, ia diberikan selepas pilihan raya. Justeru andaian itu salah.
“Saya ingin menganugerahkan pangkat ini kepada Prabowo sebagai satu bentuk penghargaan atas khidmatnya kepada rakyat dan negara. Penganugerahan ini juga dibuat atas saranan Panglima TNI, Jeneral Agus Subiyanto,” katanya.
Indonesia mengadakan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dan perundangan pada 14 Februari lalu dengan pengiraan undi terkini serta kiraan pantas tidak rasmi menunjukkan kemenangan besar memihak kepada Prabowo.
Prabowo yang merupakan jeneral bersara tiga bintang mengakui beban tugas yang dipikul semakin berat ketika ditanya wartawan tentang perasaannya selepas bergelar jeneral kehormat.











