CARDIFF: Pasangan dari Wales yang berkahwin selama lebih 63 tahun mendapat perhatian media baru-baru ini selepas mendedahkan rahsia unik untuk mengekalkan hubungan perkahwinan yang berkekalan.
Josephine dan Aubrey Langley yang berusia 90 dan 91 tahun pertama kali bertemu pada 1958 ketika mereka bersiar-siar di Dewan Tarian Mostyn di utara Wales sebelum memutuskan untuk berkahwin dua tahun kemudian.
Menurut Josephine, perkara yang menjadi kunci kepada hubungan yang berkekalan adalah seorang suami yang pandai memasak barbeku enak dan tahu cara menghasilkan ‘tonik cinta’ yang sangat baik.
“Rasa humor yang baik sangat penting pada setiap pasangan dan gemar membuat pasangan ketawa juga boleh menjadi tonik yang sangat penting untuk menceriakan perkahwinan,” katanya.
Pasangan itu mengadakan temu janji pertama mereka di barisan belakang pawagam di Pontypool dan akan menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-64 akhir bulan ini.
Lapor Sky News, penduduk rumah jagaan dengan gabungan 199 tahun usia perkahwinan berkongsi rahsia hubungan bahagia mereka semasa sambutan istimewa yang diadakan di rumah Llys Cyncoed Care UK di Cardiff.
Pasangan warga emas berkenaan dijamu makan malam peribadi romantis dengan tiga hidangan istimewa yang disediakan khas oleh chef terkenal.
Pada majlis sama, Olwen dan Arthur Hayward masing-masing berumur 100 dan 101 tahun yang dipercayai pasangan suami isteri ke-15 di United Kingdom (UK) berusia satu abad turut diraikan.
Pasangan yang sudah berkahwin selama lebih 75 tahun itu berkata, penyatuan berpanjangan mereka hasil daripada keluarga yang penuh kasih sayang.










