ISLAMABAD: Pakistan menyekat perkhidmatan panggilan mudah alih dan data internet ketika berjuta-juta penduduk mengundi dalam pilihan raya umum bagi memilih kerajaan baharu negara itu.
Kedua-dua panggilan dan perkhidmatan data digantung walaupun rangkaian wifi masih berfungsi.
Jurucakap kementerian dalam negeri berkata, langkah itu wajar, memetik insiden keganasan yang berlaku di negara itu baru-baru ini.
Pilihan raya diadakan hampir dua tahun sejak bekas Perdana Menteri, Imran Khan digulingkan dalam undi tidak percaya.
Bekas Perdana Menteri tiga kali, Nawaz Sharif kini berada dalam senarai teratas undian pilihan raya yang disifatkan penganalisis paling tidak boleh dipercayai.
Ramai penduduk di bandar Lahore mengadu pemadaman internet itu menyukarkan mereka menempah teksi untuk pergi mengundi dan tidak dapat berbual dengan ahli keluarga lain untuk menyelaraskan waktu sesuai pergi bersama ke pusat mengundi.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, langkah keselamatan itu amat penting untuk mengekalkan keadaan undang-undang dan ketenteraman serta menangani potensi ancaman.
Insiden dua letupan bom membunuh 28 orang di wilayah Balochistan yang bergolak pada Rabu lalu.
Negara itu berada dalam keadaan berjaga-jaga, dengan kawalan pasukan keselamatan yang ketat di pusat mengundi di seluruh negara.
Jurucakap kementerian luar Pakistan berkata, lintasan sempadan dengan Afghanistan dan Iran turut ditutup untuk kemasukan kargo dan pejalan kaki bagi memastikan keselamatan penuh semasa proses pengundian.-AGENSI










