Mufti Singapura benarkan makan daging makmal daripada sel haiwan halal

Mufti Singapura benarkan makan daging makmal daripada sel haiwan halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Mufti Singapura mengumumkan halal bagi orang Islam untuk mengambil daging yang diusahakan di makmal jika sel-selnya adalah daripada haiwan yang juga halal dan bahan akhir tidak mengandungi sebarang komponen tidak halal.

Dr. Nazirudin Mohd Nasir berkata, keputusan itu adalah contoh bagaimana penyelidikan fatwa perlu berkembang dengan teknologi moden dan perubahan sosial.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan melancarkan persidangan dua hari mengenai fatwa dalam masyarakat kontemporari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Hal Ehwal Islam, Masagos Zulkifli memberitahu pemberita di luar persidangan itu, isu daging yang ditanam di makmal sudah dikaji oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sejak 2022 dan fatwa lengkap mengenai isu itu kini sudah dikeluarkan.

“Kita boleh menjadi antara negara pertama di dunia yang benar-benar menerajui bidang ini, bukan sahaja mengeluarkan daging yang diusahakan tetapi juga dalam memastikan ia halal untuk dimakan oleh umat Islam,” tambahnya dipetik CNA.

Dalam pada itu, MUIS dalam satu kenyataan berkata, sumber makanan baharu yang boleh dihasilkan melalui usaha lebih mampan berbanding pertanian tradisional dan akuakultur menawarkan cara praktikal untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Justeru katanya, bimbingan agama dibangunkan kerana timbul persoalan adakah ia boleh dimakan oleh umat Islam selepas Singapura meluluskan penjualan produk daging yang dihasilkan dalam makmal pada 2020.

“Terdapat dorongan global untuk penyelesaian makanan alternatif dan mampan. Walaupun pada masa ini masih dalam peringkat pembangunan, dengan kemunculan makanan baharu, adalah perlu untuk mempunyai pendirian agama yang jelas lebih awal mengenai keizinan pengambilan makanan tersebut,” jelas badan itu.

Dalam ucapan untuk melancarkan persidangan itu, Nazirudin berkata, pihak berkuasa agama perlu membenarkan pelarasan kepada ketetapannya memandangkan perkembangan teknologi dan perubahan sosial yang berlaku kini.

“Kita pastinya boleh berusaha meneguhkan Islam untuk memelihara dan melindungi semua kehidupan manusia dan menjamin semua bentuk kesejahteraan, bukannya memegang pandangan eksklusif yang mengehadkan siapa dan dengan apa kita bekerja,” katanya.

Nazirudin berkata, jawatankuasa yang dipengerusikannya sudah melawat makmal di mana daging diusahakan dalam bioreaktor dan mengakui terdapat banyak perkara baharu untuk dipelajari daripada teknologi itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini