Menara BT di London bakal jadi hotel mewah

Menara BT di London bakal jadi hotel mewah

MENARA BT di London. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Menara BT yang merupakan salah sebuah bangunan ikonik di kota London, dilaporkan bakal berubah wajah menjadi hotel mewah.

Perubahan itu berikutan pemilik bangunan itu, BT Group bersetuju untuk menjual menara setinggi 177 meter yang terletak di West End kepada pengurusan Hotel MCR pada harga 275 juta pound (RM1.66 bilion).   

BT Group merupakan penyedia jalur lebar dan mudah alih terbesar Britain.

Pengarah Hartanah BT, Brent Mathews memaklumkan Menara BT yang terletak di tengah-tengah ibu kota, memainkan peranan penting dalam membantu membawa panggilan, mesej dan isyarat televisyen. 

“Perjanjian dengan MCR akan membolehkan Menara BT berubah wajah baharu dan memelihara bangunan ikonik ini selama beberapa dekad akan datang,” katanya.

Menara BT yang dilengkapi dengan sebuah restoran berputar di tingkat 34, dianggap sebagai simbol kebangkitan pasca perang London pada tahun 1960an.

Menara itu pernah menjadi bangunan tertinggi di bandar tersebut selama 16 tahun, sehingga diatasi oleh pencakar langit lain yang dibina di hab kewangan kota London pada 1980.  

Menara BT dirasmikan oleh Perdana Menteri Harold Wilson pada tahun 1965 dan kini peranan utama bangunan itu dalam komunikasi dikatakan sudah pudar. 

Malah, bahagian antena gelombang mikro menara itu ditanggalkan lebih sedekad lalu apabila ia tidak lagi diperlukan untuk menghubungkan kota London ke seluruh negara. 

Bangunan itu juga dikenali secara meluas sebagai Menara Pejabat Pos sejak penubuhannya sehingga tahun 1984, apabila British Telecom diswastakan. 

Ia ditutup kepada orang ramai selepas insiden bom meletup di tapak itu pada tahun 1971, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan anarkis berhaluan kiri. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik Hotel MCR, Tyler Morse berkata, perubahan itu akan membuka jalan bangunan itu untuk dinikmati generasi seterusnya.

Jelas Hotel MCR, pihaknya akan bekerjasama dengan Heatherwick Studio yang berpangkalan di London untuk pengubahsuaian Menara BT. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN