Lebih 200 juta rakyat pilih presiden baharu Indonesia

Lebih 200 juta rakyat pilih presiden baharu Indonesia

GANJAR Pranowo (kiri), Prabowo Subianto (tengah) dan Anies Baswedan (kanan). - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Lebih 200 juta pengundi Indonesia yang berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing memilih presiden baharu pada pilihan raya presiden (Pilpres) yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024, hari ini.

Ia disifatkan sebagai pilihan raya sehari terbesar di dunia.

Pilpres kali ini menyaksikan persaingan tiga penjuru antara gandingan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka, Ganjar Pranowo-Mahfud MD dan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar.

Hampir 205 juta layak mengundi dalam pilihan raya presiden, parlimen dan wilayah dalam tempoh enam jam pengundian.

Pilihan raya itu akan diadakan di tiga zon waktu, bermula di wilayah paling timur Papua.

Proses pengundian akan dilaksanakan di lebih 800,000 pusat mengundi di seluruh Indonesia.

CNBC Indonesia melaporkan gandingan calon presiden dan naib presiden, Prabowo dan Gibran dijangka muncul sebagai pilihan popular yang mendapat sokongan paling kuat.

Empat parti terdiri daripada Gerinda, Golkar, Demokrat dan Parti Amanah Nasional (PAN) memberi sokongan kepada kedua-dua calon berkenaan sekali gus menjadikannya sebagai gandingan paling kuat berbanding pesaingnya yang lain.

Malah, kekuatan Prabowo dan Gibran juga tercermin dalam beberapa hasil tinjauan yang secara konsisten meletakkan gandingan ini pada kedudukan pertama.    

Namun, persoalan yang timbul apakah mereka mampu memenangi Pilpres 2024 dengan memperoleh sokongan kuat daripada gabungan parti tersebut.

Tinjauan terbaharu daripada pelbagai agensi menunjukkan sokongan kepada pasangan Prabowo-Gibran terus meningkat, melebihi 50 peratus sekali gus meletakkan regu berkenaan memiliki peluang menang secara langsung pada pusingan pertama pengundian.         

Bagaimanapun, keputusan tinjauan semasa masih boleh mengubah keputusan akhir Pilpres 2024.

Sokongan dari Koalisi Indonesia Maju (KIM) termasuk Parti Demokrat juga memberi kekuatan tambahan kepada Prabowo.

Dengan empat parti besar, Menteri Pertahanan yang juga bekas komander pasukan khas itu mendapat sokongan paling banyak berbanding pesaing lain. 

Channel News Asia melaporkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) masih muncul sebagai pengaruh paling kuat dalam pemilihan presiden kali ini meskipun beliau secara perlembagaan dilarang bertanding untuk penggal ketiga.

Tinjauan pendapat dijalankan pada bulan lalu menyaksikan kira-kira 80 peratus responden menganggap Jokowi sebagai presiden yang mengagumkan.

Menurut pemerhati, populariti dan pengikut setia memberikan pemimpin itu kelebihan politik untuk mengimbangi calon dalam pilihan raya.

Pada masa yang sama, pengkritik mendakwa Jokowi membina dinasti politik selepas Mahkamah Perlembagaan membuka jalan kepada anaknya, Gibran untuk bertanding dalam pilihan raya.

Walaupun Jokowi tidak secara rasmi menyokong sesiapa dalam persaingan untuk menggantikannya, status anaknya sebagai pasangan calon Prabowo secara meluas dianggap sebagai tanda kelulusan presiden.

Penggal perkhidmatan Jokowi akan tamat pada Oktober tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×