Keluarga mangsa kekejaman Gaza saman menteri Jerman

Keluarga mangsa kekejaman Gaza saman menteri Jerman

SEORANG wanita memegang sepanduk ketika menyertai demonstrasi menyokong rakyat Palestin di Frankfurt, Jerman.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Sekumpulan peguam di Jerman memfailkan pertuduhan terhadap beberapa ahli politik paling kanan negara itu, termasuk Canselor, Olaf Scholz, menuduh mereka membantu dan bersubahat dengan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.

Kes tersebut dibawa bagi pihak warga Palestin di Jerman yang mempunyai keluarga di Semenanjung Gaza berikutan sokongan berterusan kerajaan negara itu terhadap Israel.

Kes undang-undang itu disokong oleh beberapa organisasi masyarakat sivil, termasuk Pusat Sokongan Undang-undang Eropah, Institut Diplomasi Awam Palestin dan Undang-undang untuk Palestin yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

Peguam memfailkan pertuduhan terhadap ahli politik kanan yang menganggotai Majlis Keselamatan Persekutuan Jerman selepas mengambil kira keputusan interim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes terhadap Israel yang dibawa Afrika Selatan.

Selain Scholz, mereka yang didakwa termasuk Majlis Keselamatan Persekutuan Jerman yang membenarkan eksport senjata ke Israel, Menteri Luar, Annalena Baerbock, Menteri Ekonomi, Robert Habeck dan Menteri Kewangan, Christian Lindner.

Jelas peguam yang memfailkan kes itu, Nadija Samour, pertuduhan tersebut bergantung kepada tiga perkara utama, pertamanya melibatkan kenyataan yang dibuat untuk menyokong Israel oleh pegawai kerajaan Jerman.

Kedua adalah penarikan balik pembiayaan Jerman untuk Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang menjadi penyedia utama bantuan di Gaza sementara isu ketiga melibatkan eksport senjata Jerman ke Israel.

Eksport senjata Jerman dilaporkan  meningkat daripada 32 juta euro (RM164.91 juta) pada 2022 kepada 303 juta euro (RM1.5 bilion) tahun lepas dengan kebanyakannya diluluskan oleh kerajaan Jerman selepas peristiwa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Nadija berkata, jika pendakwa raya persekutuan berpendapat kes itu mempunyai asas yang kukuh,  mereka akan menyiasat pertuduhan itu tetapi jika tidak, badan tersebut perlu menjelaskan sebabnya.

Peguam terbabit mengakui kes tersebut bakal melalui jalan yang sukar berikutan landskap politik di Jerman, di mana protes pro-Palestin diharamkan pada satu peringkat.

“Kami mengharapkan sekurang-kurangnya ada penyiasatan yang akan dilakukan tetapi jika itu tidak berlaku, kami tetap komited memberi tekanan kepada ahli politik berhubung kemungkinan penghantaran peluru dan kereta kebal tambahan kepada Israel menerusi perjanjian yang masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Penyelidik Migrasi dan salah seorang warga Palestin Jerman yang terlibat dalam kes itu, Nora Ragab memberitahu Al Jazeera,  tuduhan mahkamah terhadap ahli politik Jerman adalah penting bagi membuka mata penduduknya terhadap kekejaman yang semakin berleluasa di Gaza.

“Kami yang hidup mesti mengingati orang mati di Gaza, menceritakan kisah mereka dan berjuang untuk keadilan,” katanya

Nora turut berkongsi kisah sedih ibu dan bapa saudaranya yang ditembak tentera Israel ketika meminta bantuan.

“Apabila jentolak Israel tiba pada suatu hari untuk merobohkan rumah yang baru dibina, bapa saudara saya keluar untuk meminta tentera supaya tidak memusnahkan rumah itu kerana orang awam yang aman tinggal di sana.

“Jiran-jiran melihat segala-galanya. Mereka memberitahu kami dia keluar dengan tangan diangkat tetapi tentera tetap menembaknya. Apabila ibu saudara saya cuba mengheretnya kembali ke dalam rumah, dia turut ditembak,” katanya.

Menurut Nora, sepupunya yang pulang ke Gaza untuk memeriksa keadaan ibu bapa mereka mendapati mayat warga emas itu terbiar di halaman rumah dalam keadaan berpelukan dengan lebih 60 kesan tembakan.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan orang di Jerman tidak mengalihkan pandangan mereka terhadap kekejaman yang semakin tidak terkawal dan melangkaui batas kemanusiaan di Gaza.

“Sudah tentu, ia tidak akan membawa mereka yang maut kembali tetapi kita harus melakukan segala-galanya untuk mencuba dan menghentikan keganasan ini. 

“Jerman sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang istimewa kerana sejarahnya. Itulah sebabnya negara ini harus mengambil kira tuduhan pembunuhan beramai-ramai dengan serius, menyiasatnya dan melakukan segala yang mungkin untuk mencegah serta menghukumnya,” tegas Nora.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN