WASHINGTON: Honda Motor Co memanggil semula sebanyak 750,000 unit kenderaan di Amerika Syarikat (AS) berhubung masalah melibatkan beg udara.
Tindakan itu diambil berikutan bimbang beg udara dalam kenderaan itu boleh terkeluar secara tidak sengaja semasa kemalangan.
Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) memaklumkan sensor berat tempat duduk penumpang hadapan mungkin mengalami masalah litar pintas sehingga boleh menyebabkan beg udara tidak berfungsi seperti yang direka.
Justeru, syarikat berkenaan akan menggantikan sensor berat tempat duduk tersebut.
Pemanggilan semula itu merangkumi kereta Honda Pilot, Accord dan Civic tertentu dari model tahun 2020-2022 serta beberapa kenderaan Honda CR-V dan Passport membabitkan model tahun 2020 dan 2021.
Honda menerusi kenyataan difailkan dengan pengawal selia keselamatan memaklumkan pihaknya mempunyai 3,834 tuntutan waranti.
Bagaimanapun, jelas kenyataan itu, tiada laporan kecederaan mahupun kematian berkaitan isu panggil semula sejak Jun 2020.
Ketika menjelaskan punca masalah beg udara, Honda memaklumkan kepada NHTSA bahawa bencana alam memberi kesan kepada kilang pembuatan subkontraktor, pembekal menukar sementara bahan asas dalam papan litar bercetak sensor berat tempat duduk.
“Bahan alternatif yang digunakan boleh memberi tekanan tambahan pada papan litar bercetak,” jelasnya.
Sebelum ini, Toyota Motor pada Disember tahun lalu memanggil semula 1.12 juta kenderaan di seluruh dunia kerana masalah litar pintas dalam sensor yang boleh menyebabkan beg udara gagal berfungsi. – REUTERS










