GENEVA: Kira-kira 30 peratus bangunan di Semenanjung Gaza dilaporkan musnah atau rosak dalam serangan Israel di kawasan Palestin yang padat dengan penduduk.
Perkara itu didedahkan oleh pasukan Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT) yang mengkaji imej satelit wilayah dilanda konflik itu.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Hamas, lebih 27,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.
Serangan udara dan pengeboman sudah memusnahkan hampir seluruh daerah bandar termasuk banyak infrastruktur awam di Gaza.
“Secara keseluruhan, sebanyak 69,147 struktur yang bersamaan kira-kira 30 peratus daripada jumlah bangunan di Semenanjung Gaza terjejas,” jelas UNOSAT.
Menurut UNOSAT, sebanyak 22,131 struktur di enklaf itu dikenal pasti musnah, dengan tambahan 14,066 dilaporkan rosak teruk dan 32,950 mengalami kerosakan kecil.
Dilaporkan, UNOSAT menggunakan imej satelit yang dirakam pada 6 dan 7 Januari lalu.
UNOSAT kemudian membandingkan imej satelit berkenaan dengan enam set imej lain termasuk beberapa yang bertarikh sebelum serangan Israel.
Jelas UNOSAT, wilayah kota Gaza dan Khan Yunis mengalami peningkatan kerosakan yang paling ketara sejak analisis terdahulu.
Dua kawasan itu masing-masing menyaksikan sebanyak 10,280 dan 11,894 struktur baharu yang rosak berbanding analisis UNOSAT dilakukan sebelum ini berdasarkan beberapa imej pada 26 November tahun lalu.
Analisis UNOSAT menunjukkan kira-kira 93,800 unit rumah rosak di Semenanjung Gaza. – REUTERS











