BERLIN: Saintis di Berlin merekodkan penemuan unik ikan kecil dengan tubuh lutsinar yang mampu mengeluarkan bunyi kuat seakan tembakan pistol.
Pengarang utama kajian itu yang juga pelajar sarjana Universiti Charité Berlin, Verity Cook berkata, pasukannya mula membuat siasatan selepas mendengar bunyi ketukan misteri yang datang dari akuarium di makmal mereka.
Katanya, mereka mendapati ikan-ikan danionella cerebrum di dalam akuarium itu mengeluarkan irama yang kuat mencecah 140 desibel melalui organ pundi kencingnya .
Penyelidik percaya spesies sepanjang 12 milimeter itu adalah ikan yang mengeluarkan bunyi paling kuat dalam kelompok saiz serupa dan belum pernah dikesan sebelum ini.
Menurut Cook, bunyi yang kuat itu merupakan cara ikan itu berkomunikasi dan pasukannya percaya evolusi di perairan keruh di Myanmar memainkan peranan penting dalam membentuk keupayaan tersebut.
“Ikan danionella dihargai oleh sains kerana tubuh yang lutsinar membolehkan kita melihat otaknya bertindak dan ini membantu penyelidik mengkaji dengan teliti tingkah lakunya.
“Orang ramai yang berjalan melepasi akuarium dapat mendengar dengan jelas bunyi itu dan tertanya-tanya dari mana ia datang.
“Selepas kami menggunakan pelbagai mikrofon dan kamera video, ternyata bunyi itu datang daripada ikan itu sendiri dan ia sangat luar biasa. Tubuh mereka sangat kecil tetapi bunyi yang dikeluarkan sangat kuat.
Jelas Cook, hanya spesies jantan mengeluarkan bunyian tersebut secara serentak, malah ada yang berupaya mengeluarkan nada lebih kuat berbanding yang lain.
Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Prosiding Akademi Sains Kebangsaan.-AGENSI










