THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menolak dakwaan Ukraine bahawa Rusia membiayai keganasan di timur negara itu.
Sebaliknya, mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu memutuskan Moscow gagal menyiasat dakwaan pelanggaran.
Sebelum ini, Kyiv pernah menuduh Moscow sebagai negara pengganas kerana menyokong kumpulan pemisah pro-Russia di timur Ukraine.
Mereka mahu Russia membayar pampasan kepada semua orang awam yang terperangkap dalam konflik itu termasuk mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.
Namun, ICJ menolak kebanyakan dakwaan Ukraine dan hanya memutuskan bahawa Russia gagal mengambil langkah untuk menyiasat fakta berkenaan individu yang didakwa melakukan kesalahan itu.
“ICJ menolak semua hujahan lain yang dibuat Ukraine,” jelasnya dalam kenyataan.
Menurut mahkamah, hanya pemindahan wang tunai boleh dianggap sebagai pembiayaan kepada kumpulan pengganas yang didakwa di bawah terma konvensyen antarabangsa mengenai pembiayaan keganasan (ICSFT).
“Ini tidak termasuk cara yang digunakan untuk melakukan tindakan keganasan, termasuk senjata atau kem latihan.
“Oleh itu, tuduhan membekalkan senjata kepada pelbagai kumpulan bersenjata yang beroperasi di Ukraine berada di luar skop material konvensyen ICSFT,” jelas mahkamah.
Sementara itu, peguam terkemuka Ukraine dalam kes itu, Anton Korynevych menyifatkan keputusan itu bagaimanapun mempunyai `nilai yang besar’.
“Bagi kami, ia sangat penting kerana merupakan penghakiman yang menyatakan Russia melanggar undang-undang antarabangsa.
“Ini adalah kali pertama Russia digelar sebagai pelanggar undang-undang antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas keputusan itu.
Dilaporkan, kes tersebut dikemukakan di ICJ sebelum insiden pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.
ICJ akan memutuskan pada Jumaat sama ada ia mempunyai bidang kuasa dalam kes berasingan berhubung perang itu. – AFP










