WASHINGTON: Kumpulan Houthi yang disokong Iran menembak jatuh sebuah dron MQ-9 milik tentera Amerika Syarikat (AS) berhampiran Yaman.
Perkara itu disahkan oleh dua pegawai AS.
Ia merupakan kali kedua kejadian seperti itu berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini ketika pertempuran berterusan hampir setiap hari antara tentera AS dan kumpulan Houthi.
Houthi melancarkan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali menyasarkan kapal komersial dan tentera di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab sejak November tahun lalu.
Pasukan tentera AS dan Britain bertindak balas dengan melancarkan beberapa serangan ke atas kemudahan Houthi, namun setakat ini gagal untuk menghentikan serangan.
Menurut seorang pegawai yang identitinya enggan didedahkan, maklumat awal menunjukkan dron AS buatan General Atomics, ditembak jatuh berhampiran Hodeidah pada Isnin lalu.
Pegawai itu tidak menyatakan sama ada dron itu berada di ruang udara antarabangsa.
Pegawai kedua berkata, dron itu ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi menggunakan peluru berpandu darat ke udara dari kawasan berhampiran Hodeida.
Kenyataan pegawai itu mengesahkan dakwaan Houthi bahawa mereka menembak jatuh dron berhampiran bandar pelabuhan itu.
Isnin lalu, kumpulan Houthi mengesahkan mereka menyerang kapal kargo Rubymar di Teluk Aden. – REUTERS










