ROM: Sekumpulan enam perompak bersenjata yang didakwa diketuai oleh warga emas berusia dalam lingkungan 60-an dan 70-an ditahan di Itali selepas melakukan beberapa kes pecah premis di pejabat pos di Rom.
Lapor Oddity Central, Italo De Witt, 70, Sandro Baruzzo, 68, dan Raniero Pula, 77 kelihatan seperti lelaki tua yang tidak berdaya namun penampilan mereka boleh menipu.
Pendakwa raya Itali mendakwa bahawa mereka merupakan ketua kumpulan perompak bersenjata yang kejam serta mempunyai kepakaran di premis berkenaan.
Kumpulan warga emas itu bekerjasama dengan tiga pakar lain iaitu seorang pembuat kunci berusia 66 tahun untuk memecahkan pelbagai kunci dan dua tukang batu berusia 51 dan 56 tahun yang menggali lubang untuk memasuki pejabat pos.
Semua individu berkenaan mempunyai rekod jenayah namun ketuanya memiliki rekod yang sangat banyak dalam jenayah sejak 1970-an lagi.
Pihak berkuasa Itali mula menyiasat aktiviti kumpulan itu selepas kejadian rompakan pejabat pos pada Mei tahun lalu apabila tiga individu yang mengenakan topeng, topi, dan cermin mata hitam, menahan kakitangan itu dengan senjata dan berjaya melarikan wang sejumlah AS$211,000 (RM1.008 juta).
Sejak itu, penyiasat mengetahui mereka merancang sekurang-kurangnya dua lagi rompakan, yang akhirnya dibatalkan atas pelbagai faktor.
Pada 30 Ogos tahun lalu, kumpulan itu sepatutnya menyerang pejabat pos namun bertindak membatalkan rompakan tersebut selepas menyedari pengawal keselamatan hanya memuatkan sejumlah kecil wang dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM), menjadikan potensi ganjaran tidak berbaloi dengan risiko yang bakal diambil.
Pada 6 September tahun lalu, kumpulan warga emas itu dilihat tidak bernasib baik kerana trak perisai yang disasarkan gagal tiba di pejabat pos Rom.
Kumpulan perompak itu akhirnya ditangkap pada 6 November tahun lalu apabila cuba merompak pejabat pos di Via Calpurnio Pisone, tanpa menyedari berada di bawah pengawasan polis.
Seperti biasa, tukang batu membuat lubang di dinding dan menutupnya dengan papan lapis.
“Begitulah cara tiga ahli kumpulan itu memasuki pejabat pos tetapi ketika bersiap sedia untuk melarikan diri dengan AS$165,000 (RM788,540) mereka ditahan oleh polis.
Semasa penyiasatan, pendakwa mendapat tahu De Witt, Pula dan Baruzzo jarang bercakap melalui telefon selepas mengesyaki polis boleh mengintip mereka.
Sebaliknya, ketiga-tiga individu itu sering bertemu di bar untuk membuat perancangan mereka bagi operasi seterusnya.
Keenam-enam individu itu ditahan atas tuduhan rompakan bersenjata, dan selepas perbicaraan, mereka dijatuhi hukuman penjara empat tahun.










