Biden gesa Dewan Republikan sokong bantuan AS$95.34 bilion

Biden, senator gesa Dewan Republikan sokong bantuan AS$95.34 bilion

BANGUNAN Capitol di Washington. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang dikawal Republikan digesa untuk menyokong pakej bantuan ketenteraan bernilai AS$95.34 bilion (RM455.81 bilion) untuk Ukraine, Israel dan Taiwan.   

Gesaan itu dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dari parti Demokrat bersama sekumpulan penggubal undang-undang dwipartisan termasuk pemimpin Senat Republikan, Mitch McConnell.  

Pakej bantuan luar negara AS itu diluluskan di Dewan Senat dalam undian 70-29 kelmarin selepas sekumpulan ahli sayap kanan Republikan cuba menyekatnya.   

Kelulusan itu dibuat di tengah-tengah keraguan yang semakin meningkat mengenai nasib rang undang-undang itu di Dewan Perwakilan. 

Dilaporkan, seramai 22 anggota Republikan menyertai ahli Demokrat untuk menyokong RUU itu.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson akan membawanya untuk undian di dewan yang dikawal parti Republikan dengan margin yang tipis 219-212.

Kedua-dua Dewan Kongres perlu meluluskannya sebelum Biden boleh menandatangani dan menjadikannya undang-undang.

Kepimpinan Ukraine melihat pembiayaan itu penting kerana ia membantu melawan pencerobohan dilakukan oleh tentera Russia hampir dua tahun lalu.

Biden mendesak pakej bantuan itu diluluskan selama berbulan-bulan namun berdepan tentangan daripada penyokong tegar Republikan khususnya mereka yang paling rapat dengan bekas Presiden AS, Donald Trump.

“Justeru, saya menggesa Speaker untuk membiarkan anggota Dewan menyatakan fikiran mereka dan tidak membenarkan minoriti suara paling ekstrem menyekat rang undang-undang ini.

“Tindakan menyokong rang undang-undang ini seumpama menentang Presiden Vladimir Putin,” kata Biden ketika menyampaikan ucapan dari White House.  

Sementara itu, McConnell berkata, beliau berharap agar Dewan Perwakilan akan mempertimbangkan rang undang-undang itu.

“Saya berharap Speaker akan mencari jalan untuk membolehkan Dewan melaksanakan kehendaknya dalam isu bantuan Ukraine dan bahagian lain rang undang-undang itu,” katanya kepada Politico dalam temu bual. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN