BANGKOK : Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang dipenjarakan sejak Ogos tahun lalu, dilaporkan akan dibebaskan dengan parol esok.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Srettha Thavisin.
Thaksin menjalani hukuman penjara kira-kira enam bulan selepas pulang dari buangan selama 15 tahun.
Hartawan itu dua kali dipilih sebagai perdana menteri sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa tentera 2006.
Thaksin dikenakan hukuman penjara selama lapan tahun atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa pada Ogos tahun lalu namun dalam beberapa hari sahaja hukumannya dikurangkan setahun oleh Raja Maha Vajiralongkorn.
Bercakap kepada pemberita sebelum menaiki penerbangan, Srettha mengesahkan Thaksin akan dibebaskan esok dan proses itu dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang.
Butiran terperinci mengenai pembebasan Thaksin masih tidak jelas namun beliau mungkin tertakluk kepada pemantauan dan sekatan ke atas haknya untuk melakukan perjalanan.
Baru-baru ini, Menteri Kehakiman Thailand, Tawee Sodsong berkata, bekas pemilik kelab Manchester City itu menjadi antara 930 banduan yang diberikan pembebasan awal.
“Beliau berada dalam keadaan kritikal atau berusia lebih 70 tahun. Dia akan dibebaskan selepas enam bulan secara automatik,” kata menteri itu.
Media Thailand melaporkan Thaksin boleh dibebaskan pada sebelah pagi, namun Srettha sebaliknya memaklumkan tidak mengetahui butiran itu.
Berdasarkan laporan media tempatan, sekumpulan kecil penyokong berkumpul di luar kediaman Thaksin di Bangkok. – AFP










