THE HAGUE: Amerika Syarikat (AS) dan Russia, dijadual berhujah dalam prosiding di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) esok bagi meneliti kesahihan hak pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diminta oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2022 untuk mengeluarkan pendapat yang tidak mengikat mengenai akibat daripada undang-undang pendudukan.
Israel yang tidak mengambil bahagian dalam ulasan bertulis berkata, pembabitan mahkamah boleh menjejaskan usaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan.
Washington dijangka berhujah bahawa ia tidak boleh memutuskan kesahan pendudukan itu.
Lebih 50 negara akan mengemuka hujah sehingga Isnin depan termasuk Mesir dan Perancis.
Pada Isnin lalu, wakil Palestin meminta hakim mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah mereka sebagai haram dan berkata, pendapatnya boleh membantu mencapai penyelesaian dua negara.
Lonjakan kekejaman terbaharu di Gaza merumitkan lagi penentangan yang sudah berakar umbi di Asia Barat dan menjejaskan usaha ke arah mencari jalan menuju keamanan.
Panel 15 hakim ICJ diminta mengkaji semula pendudukan, penempatan dan penjajahan Israel, termasuk langkah yang bertujuan untuk mengubah komposisi demografi, watak serta status Kota Suci Baitulmuqaddis dengan menerima pakai perundangan dan langkah diskriminasi yang berkaitan.
Hakim dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mengeluarkan pendapat mereka mengenai permintaan itu, yang turut meminta mereka mempertimbang status undang-undang pendudukan dan kesannya terhadap negara.
Kelmarin, 10 negara termasuk Afrika Selatan mengkritik kelakuan Israel di wilayah yang diduduki, dengan banyak mendesak mahkamah mengisytiharkan pendudukan itu sebagai haram.
Pretoria memberitahu panel mahkamah itu, Israel menerapkan versi apartheid yang lebih ekstrem di wilayah Palestin berbanding tragedi dialami di Afrika Selatan sebelum 1994.
“Kami sebagai rakyat Afrika Selatan merasakan, melihat, mendengar dan merasai dasar dan amalan diskriminasi yang tidak berperikemanusiaan rejim Israel sebagai bentuk apartheid lebih ekstrem yang diinstitusikan terhadap orang kulit hitam di negara saya.
“Adalah jelas bahawa pendudukan haram Israel juga ditadbir sebagai melanggar jenayah apartheid.
“Ia tidak dapat dibezakan daripada penjajahan peneroka. Apartheid Israel mesti ditamatkan,” kata Duta Afrika Selatan ke Belanda, Vusimuzi Madonsela.-REUTERS










