Aliyev menang besar pilihan raya presiden Azerbaijan

Aliyev menang besar pilihan raya presiden Azerbaijan

PENGUNDI membuang undi pada Pilihan Raya Presiden Azerbaijan di pusat mengundi di Shusha, wilayah Karabakh, kelmarin. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKU: Azerbaijan mengadakan pilihan raya presiden buat kali pertama selepas berjaya membebaskan sepenuhnya wilayah Karabakh dari cengkaman Armenia dengan Presiden Ilham Aliyev dijangka menang besar.

Pilihanraya ini cukup penting kepada kedaulatan Azerbaijan kerana ia kali pertama melibatkan keseluruhan wilayahnya selepas berdekad Armenia menguasai Karabakh.

Tujuh orang calon layak bertanding jawatan presiden dengan lima mewakili parti politik dan dua calon bebas.

Bagaimanapun kelebihan memihak kepada Aliyev ekoran kejayaannya menyatukan keseluruhan wilayah Azerbaijan yang mana ia turut memberi keyakinan rakyat terhadap pemerintahannya.

Keputusan mengadakan pilihan raya presiden itu dibuat selepas Azerbaijan berjaya menstabilkan situasi di Karabakh termasuk mematahkan tentangan kumpulan pemisah pada hujung tahun lalu.

Bagi mengembalikan kestabilan dan keyakinan, pada Disember tahun lalu kerajaan mengumumkan untuk mengadakan pilihan raya presiden pada awal Februari 2024 iaitu lebih awal dari pengundian asal iaitu pada 2025.

Sehubungan itu, kelmarin, 6.5 juta pengundi berdaftar keluar memilih presiden di 1,000 pusat mengundi di bawah pemantauan 90,000 pemerhari domestik dan 600 pemerhati antarabangsa, termasuk dari Malaysia.

Buat kali pertama selepas era Kesatuan Soviet, sebanyak 26 pusat mengundi dibuka di Karabakh, menyaksikan penduduk wilayah itu dapat terlibat dalam pemilihan presiden buat kali pertama.

Pengundian juga dibuka di luar negara, dengan 49 lokasi di 40 negara, dan kira-kira 23,000 mengundi di kedutaan.

Apa yang menarik, semua proses pengundian dipantau melalui kamera web yang dipasang di setiap pusat mengundi, supaya sesiapa sahaja boleh mengikuti prosiding pemilihan presiden melalui Internet.

Menurut suruhanjaya pilihan raya pusat, daripada tinjauan awal dalam kalangan 63,000 pengundi selepas pusat mengundi ditutup pada pukul 7 malam, Aliyev dilihat mendahului dengan 93.9 peratus.

Berdasarkan tinjauan itu, Aliyev akan kekal menerajui negara yang kaya dengan sumber tenaga itu untuk penggal seterusnya.

Berdasarkan tinjauan awal itu Aliyev mendapat 93.3 peratus undi, Zahid Oruj (1.83 peratus), Fazil Mustafa (1.5 peratus), Gudrat Hasanguliyev (1.2 peratus), Razi Nurullayev (0..9 peratus), Elshad Musayev (0.4) peratus dan Fuad Musayev (0.4 peratus). 

Bagaimanapun Aliyev dikritik kerana mengadakan pilihan raya awal kerana didakwa melanggar prinsip demokrasi dengan dua parti pembangkang utama memboikot proses itu.

Keputusan rasmi akan diumumkan minggu depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN