Aktivis simbah sup pada lukisan Monet di muzium Lyon

Aktivis simbah sup pada lukisan Monet di muzium Lyon

TANGKAPAN layar menunjukkan keadaan Le Printemps (Spring) karya Claude Monet selepas disimbah sup. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIJON: Sekumpulan penunjuk perasaan bertindak menyimbah sup ke atas lukisan karya Claude Monet di sebuah muzium di tenggara Perancis.

Ia merupakan tindakan terbaharu kumpulan kempen yang pernah melakukan aksi serupa pada lukisan karya Leonardo da Vinci yang terkenal, Mona Lisa pada bulan lalu.

Menurut Musee des Beaux-Arts di Lyon menerusi kenyataan, serangan ke atas Le Printemps (Spring) karya Claude Monet berlaku pada pukul 3.30 petang (waktu tempatan) pada Sabtu lalu.

Jelas pihak muzium, meskipun lukisan dari tahun 1872 itu dilindungi kaca namun ia masih akan diperiksa rapi dan melalui proses pemulihan.

Pihak muzium memaklumkan akan memfailkan aduan untuk vandalisme, selain menyatakan dua aktivis kini sudah ditahan.

Sementara itu, kumpulan Riposte Alimentaire menerusi hantaran di aplikasi X mendakwa melakukan tindakan berkenaan.

Malah, seorang wanita berusia 20 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Ilona menegaskan `orang ramai perlu bertindak sebelum terlambat’. 

Kumpulan yang sama turut mendakwa menyimbah sup ke atas lukisan Mona Lisa di muzium Louvre, bulan lalu.

Dua individu yang melakukan tindakan tersebut terhadap karya ikonik Leonardo da Vinci itu sudah diperintahkan mahkamah untuk menjalankan kerja sukarela bagi persatuan amal.

Kumpulan Riposte Alimentaire menggelarnya sebagai ‘pergerakan penentangan sivil Perancis yang bertujuan memacu perubahan masyarakat yang radikal untuk alam sekitar dan masyarakat’.

“Kami suka seni tetapi artis akan datang tidak akan mempunyai apa-apa untuk dilukis di bumi yang semakin tenat,” kata kumpulan itu.

Ini bukan kali pertama lukisan Monet menjadi sasaran aktivis alam sekitar.

Pada Oktober 2022, penunjuk perasaan dari Last Generation cawangan Jerman melemparkan kentang lenyek pada lukisan Les Meules (The Haystacks) yang dilindungi kaca di sebuah muzium di Potsdam.

Pada Jun tahun lalu, kumpulan aktivis di Stockholm menyapu cat merah dan melekatkan tangan mereka pada penutup kaca sebuah lagi karya artis Perancis itu, The Artist’s Garden at Giverny. – AFP

TANGKAPAN layar menunjukkan keadaan Le Printemps (Spring) karya Claude Monet selepas disimbah sup. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN