BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan bekas calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat tidak bersalah atas pertuduhan melanggar peraturan pilihan raya berkaitan pegangan saham dalam syarikat media.
Mahkamah turut memutuskan beliau akan mengekalkan kerusi Parlimennya.
Bekas pemimpin Parti Move Forward (MFP) itu sebelum ini didakwa atas kesalahan melanggar undang-undang pilihan raya kerana memiliki saham dalam syarikat media ITV yang sudah kehilangan konsesi penyiaran ketika menjadi calon.
Pita,43, turut digantung daripada Parlimen sejak Julai 2023 sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung kes tersebut.
MFP memenangi pilihan raya tahun lalu tetapi gagal membentuk kerajaan.
Pita gagal memperoleh 375 undi yang diperlukan untuk beliau menjadi Perdana Menteri, sebahagian besarnya disebabkan tentangan daripada senator yang dilantik di bawah pemerintahan tentera.
Kekalahan Pita di Parlimen dikaitkan dengan janji pilihan raya MFP untuk merombak undang-undang melarang menghina monarki Thailand.
Sebilangan wakil rakyat menuduh beliau mencetuskan ketegangan dan cuba melemahkan keluarga diraja. -REUTERS










