Gaza tidak boleh didiami lagi - PBB

Gaza sudah tidak boleh didiami

KEPULAN asap tebal memenuhi ruang udara di Khan Yunis, selatan Gaza ketika pengeboman berterusan Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran wilayah Palestin itu kini menjadi kawasan yang tidak boleh didiami lagi.

Pertempuran Israel-Hamas yang sudah berlanjutan selama tiga bulan di Gaza sekaligus mencetuskan ancaman bahawa ia mungkin menjejas wilayah lain.

Ketika sebahagian besar Gaza sudah musnah, Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths menegaskan wilayah Palestin itu `tidak boleh didiami lagi’. 

“Tiga bulan sejak serangan 7 Oktober tahun lalu yang mengerikan, Gaza menjadi tempat yang ‘dipenuhi kematian’.

“Gaza tidak boleh didiami lagi. Penduduknya menyaksikan ancaman setiap hari sementara dunia pula hanya memerhati.

“Komuniti bantuan kemanusiaan ditinggalkan dengan misi mustahil untuk menyokong lebih daripada dua juta orang,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dibuat selepas pasukan Israel terus melakukan pengeboman tanpa henti sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut kumpulan Hamas pada Oktober tahun lalu.

Agensi kanak-kanak PBB memberi amaran konflik pertempuran, masalah malnutrisi dan kekurangan perkhidmatan kesihatan menjejaskan lebih 1.1 juta kanak-kanak di Gaza.

Dalam pada itu, wartawan AFP melaporkan Israel melancarkan serangan menyasarkan bandar Rafah di selatan Gaza yang mana beratus-ratus penduduk berlindung daripada pertempuran itu.  

Serangan rejim Zionis itu melanda bandar-bandar selatan Khan Yunis dan Rafah serta bahagian tengah Gaza.

Sebuah hospital terletak di pusat bandar Deir al-Balah melaporkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh di kawasan itu.

Orang awam terus menanggung beban konflik itu, dengan PBB memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan semakin memburuk di Gaza di tengah-tengah peningkatan kebuluran dan penyakit yang semakin merebak.

Seorang penduduk bernama Abu Mohammed yang melarikan diri ke Rafah, berpandangan masa depan Gaza kini sudah `gelap, suram dan sukar’. 

Berdasarkan data dikeluarkan kementerian kesihatan Hamas, sekurang-kurangnya 22,600 penduduk Palestin yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam pengeboman Israel di Gaza. 

Sementara itu, jurucakap tentera Israel Daniel Hagari berkata, pasukannya terus bertempur di semua bahagian termasuk utara, tengah dan selatan Semenanjung Gaza.

Katanya, pasukan tenteranya juga berada dalam keadaan siap siaga berhampiran sempadan dengan Lubnan berikutan insiden pemimpin tertinggi Hamas yang terbunuh dalam serangan di Beirut.  

Setakat ini, rejim Zionis itu tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu namun seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) mendakwa Israel melakukan serangan berkenaan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya