TAIPING: Dua lelaki berhadapan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.03 kilogram (kg), dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Fauzi Mohd. Mokhtar, 42, dan Dzulkarnain Maliki, 47, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan, dua lelaki itu yang masing-masing bekerja sebagai nelayan dan pembantu kedai makan didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 21,037.10 gram.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan kedai di Jalan Medan Simpang, Taiping pada pukul 11.15 malam, 3 Mei 2024.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan Kimia.
Menerusi laporan media pada 6 Mei lalu, dua lelaki berkenaan ditahan selepas pemeriksaan di dalam kereta Proton Waja yang dinaiki mereka menemukan guni berisi 46 bungkus plastik lutsinar di mana setiap bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin berjumlah 21,037.10 gram.
Berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki itu dipercayai mula aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Februari lalu.
Difahamkan, dadah yang dirampas itu diperoleh dari kawasan utara Perak dan diedarkan untuk pasaran tempatan.










