GAZA: Pertempuran semakin sengit pada hari kedua selepas rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata selama seminggu gagal dengan pengantara berkata pengeboman Israel merumitkan percubaan untuk menghentikan permusuhan di Gaza.
Kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza memaklumkan lebih 240 orang terbunuh di wilayah Palestin sejak jeda perang sementara tamat semalam.
Selain itu, 650 lagi cedera dalam ratusan serangan udara, artileri dan pengeboman tentera laut, di pelbagai lokasi di Semenanjung Gaza.
Penduduk dan pegawai Hamas berkata, pejuang bersenjatakan bom tangan roket bertempur dengan tentera dan kereta kebal Israel di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di Gaza City di utara wilayah itu.
Kawasan timur Khan Younis juga teruk dibedil sejurus gencatan senjata tamat selepas waktu subuh pada Jumaat lalu dengan Israel mendakwa menyerang 400 sasaran semalam termasuk di bandar selatan Gaza.
Rakyat Palestin turun ke jalan raya bersama timbunan barangan mereka, mencari tempat berteduh lebih jauh ke barat selepas Israel mengarahkan penduduk di selatan berpindah ke Rafah walaupun kawasan itu turut menerima serangan berterusan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pertempuran berkenaan memburukkan lagi kecemasan kemanusiaan yang sudah berada di tahap malapetaka di wilayah itu selepas Israel menyekat kuantiti bantuan yang masuk ke wilayah itu.
“Neraka di bumi sudah kembali ke Gaza. Dalam hanya beberapa jam, ramai dilaporkan terbunuh dan cedera.
“Keluarga diberitahu untuk berpindah sekali lagi. Harapan musnah. Kanak-kanak, wanita dan lelaki di Gaza tiada tempat yang selamat untuk pergi malah hampir tiada apa untuk bertahan,” kata Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths.
Qatar yang memainkan peranan penting sebagai orang tengah, berkata, rundingan masih berjalan dengan Israel dan Palestin untuk memulihkan gencatan senjata tetapi pengeboman ke atas Gaza menjadikan keadaan bertambah rumit.
Amerika Syarikat (AS) menyalahkan Hamas atas pertempuran terbaharu, mendakwa kumpulan pejuang gagal mengeluarkan senarai tebusan baharu untuk dibebaskan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang mengakhiri lawatan ke rantau itu berkata, Hamas mula menembak roket sebelum jeda permusuhan tamat, melakukan serangan tembakan maut di Baitulmuqaddis pada Khamis lalu dan tidak melaksanakan komitmen terhadap tebusan.
Bagaimanapun, Senator Demokrat AS, Mark Warner yang mempengerusikan Jawatankuasa Perisikan Senat berkata, Washington sepatutnya memberi lebih tekanan kepada Israel.
“Kita harus mendorong Israel untuk menyedari ini bukan sahaja konflik ketenteraan, tetapi ia adalah konflik yang meruntun hati dan fikiran penduduk di seluruh dunia termasuk rakyat AS,” katanya.
Hamas menuduh Washington memberi lampu hijau terhadap ‘perang pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik’ oleh Israel.-REUTERS










